bomoh

Ada orang politik ulang-alik jumpa bomoh sebelum PRU?

guane

CERITA-CERITA misteri dan tahyul berkaitan kewujudan makhluk halus seperti hantu dan jembalang sememangnya agak sinonim dalam kehidupan masyarakat Melayu, khususnya ketika zaman nenek moyang kita dahulu.

Sejak zaman kanak-kanak lagi, penulis sudah terdedah dengan alam ‘perbomohan’ ini menerusi pemerhatian yang dilakukan masyarakat kampung nelayan seperti pemujaan laut dan buang ancak bersama pulut kuning serta telur merah.

Selain unsur-unsur ritual seperti amalan perubatan dan perbomohan, orang dahulu juga sentiasa dikaitkan dengan ‘pemakaian’ hantu syaitan.

Antaranya saka, hantu raya,  pelesit, pontianak, polong dan toyol.

Ketika itu, kepercayaan terhadap kewujudan makhluk halus bukan sekadar tercetus dari ungkapan dan penceritaan secara tradisi oleh orang tua-tua semata-mata.

Sebaliknya, ada pihak tertentu turut mengamalkan kepercayaan karut dengan mengaitkan sesuatu penyakit itu berlaku akibat serangan dan kemarahan hantu.

Wanita lambat dapat jodoh dikatakan akibat kena sihir, perniagaan tidak laku disebabkan ada orang khianat, kalah dalam pilihan raya kerana dikatakan pihak lawan guna bomoh.

Malah, sekiranya anak-anak menangis waktu malam, ia dikatakan telah ditegur atau ternampak hantu syaitan.

Kalau golongan wanita tidak berkahwin selepas tiga kali gagal dirisik keluarga pihak lelaki, ia dikaitkan pula dengan ‘perbuatan’ orang yang sakit hati.

Begitu juga dengan peristiwa bot karam, mati lemas, kemalangan jalan raya atau hasil tanaman tidak menjadi dikaitkan dengan angkara kemarahan penunggu atau lokasi tersebut terlalu keras dan berpuaka.

bomoh
Gambar hiasan.

Bagi orang politik pula, tidak lama dahulu penulis pernah diberitahu ada dalam kalangan pemimpin parti tertentu yang sanggup berulang-alik bertemu pawang dan bomoh untuk membantunya memenangi dalam pilihan raya umum (PRU).

Ia berlaku sekitar akhir tahun 1980-an, memang banyak cerita seperti itu diperbualkan oleh pihak-pihak tertentu, cuma ia terhenti begitu sahaja kerana ketika itu belum ada media sosial seperti WhatsApp, Telegram, Facebook dan TikTok.

Maklumlah, ketika itu dunia komunikasi masyarakat hanya perbualan dari mulut ke mulut, tidak secanggih hari ini.

Disebabkan pemujaan itulah, menyebabkan hantu dan jembalang sentiasa popular dan terus bermain di bibir masyarakat.

Manakala pawang, dukun dan bomoh pula begitu terangkat kedudukannya melebihi kewibawaan seorang pemimpin.

Malah, kebanyakan masyarakat ketika itu terlalu bergantung harap kepada kebolehan dan kepakaran pawang, dukun dan bomoh walaupun mereka tahu ada di antara golongan terbabit ‘mengguna pakai’ makhluk halus seperti hantu raya, pelesit, toyol, puaka, polong dan pontianak.

Setiap kali terdapat anggota keluarga dihidapi penyakit sama ada diserang histeria, demam atau penyakit buah (barah), mereka tetap mengharapkan ‘air  penawar’ atau jampi mentera daripada bomoh.

Perkara ini berlaku mungkin disebabkan ketika di zaman kehidupan nenek moyang kita dahulu belum ada golongan cerdik pandai yang berjaya menjadi doktor selain ketiadaan kemudahan hospital dan pusat perubatan seperti mana sekarang.

Sebab itulah dalam kehidupan masyarakat Melayu tradisi kita, rata-rata penduduk terlalu percaya dan berpegang kuat kepada alaman-amalan misteri dan tahyul yang boleh membawa kepada syirik.

Namun, apa yang dikesalkan apabila kepercayaan karut seperti itu tidak sahaja terhenti ditelan zaman, sebaliknya masih lagi menular dalam masyarakat Melayu sekarang yang dikatakan semakin moden dan mewah.

Walaupun kepercayaan itu dikatakan hanya  melibatkan segelintir masyarakat sahaja, terutama bagi mereka yang tinggal di kampung serta kawasan pedalaman, tetapi apa yang membimbangkan sesetengah orang bandar turut teruja dengan perkara tersebut terutama melibatkan pemakaian ‘ilmu pengasih’, pelaris perniagaan dan juga rawatan histeria.

Malah, sehingga ini kejadian melibatkan anak-anak terutama pelajar sekolah diserang histeria sentiasa dikaitkan dengan gangguan makhluk halus, disampuk hantu serta lokasi keras yang mempunyai penunggu.

Kejadian histeria melibatkan pelajar sekolah di negara ini bukan perkara baharu, sebaliknya ia dilihat semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini menyebabkan pihak pengurusan sekolah terpaksa melakukan pelbagai ikhtiar bagi membendung masalah berkenaan.

Dalam menangani masalah ini, kita berharap semua pihak terutama pengurusan sekolah mencari pendekatan terbaik apatah lagi soal hantu dan jembalang ini masih lagi menjadi kepercayaan, amalan serta ‘pemakaian’ (pemeliharaan) segelintir golongan tertentu dalam masyarakat hari ini.

Paling menyedihkan apabila masih ada dalam kalangan wanita Melayu yang pergi bertemu bomoh untuk merawat penyakit akhirnya terjerat dengan kejadian cabul dan rogol oleh bomoh terbabit.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *