BANYAK pihak meramalkan bahawa perebutan kerusi bagi Parlimen Hulu Terengganu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti akan berlangsung dalam suasana agak sengit.
Malah, rata-rata pemerhati politik turut menjangkakan persaingan itu turut menyaksikan pertandingan dua penjuru antara calon berkaliber mewakili Bersatu (PN) dan UMNO (BN).
Manakala lain-lain parti politik setakat ini dikatakan seperti masih kurang menunjukkan minat untuk berbuat demikian.
Ini kerana, dalam konteks Hulu Terengganu, sekiranya mana-mana parti tidak memiliki calon yang benar-benar berkelayakan dan diterima masyarakat setempat, maka calon ditampilkan nanti bakal berhadapan hilang deposit.
Dalam PRU-15 nanti, penulis percaya akan berlaku pertembungan dua calon memiliki kriteria seperti anak tempatan, berpengaruh dan berpengalaman serta mempunyai pengikut tersendiri.
Walaupun nama-nama calon yang akan bertanding belum dimuktamadkan, namun penulis percaya nama Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid akan tersenarai sebagai calon mewakili PN untuk menentang calon BN, iaitu Datuk Rozi Mamat yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Terengganu dan juga Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu.
Bagi penulis, sekiranya Rosol kekal bertanding di Hulu Terengganu, peluang untuk menang adalah sama rata kerana kedua-dua calon umpama dua beradik yang ‘berselisih pendapat hanya disebabkan harta pusaka’.
Mereka merupakan anak tempatan yang mempunyai keluarga, sahabat, jiran dan kawan dan pengikut yang ramai di kawasan Parlimen tersebut.
Selain itu, sikap dan penerimaan masyarakat khususnya pengundi Hulu Terengganu yang lebih cenderung memilih calon berbanding parti juga perlu diberikan perhatian.
Perkara inilah menyebabkan kenapa Parlimen Hulu Terengganu menjadi antara kubu kuat BN di Terengganu sejak dahulu lagi.
BN hanya tewas kepada calon Pas dalam PRU-10 pada tahun 1999 lalu.
Malah, usaha Pas untuk menawan kerusi tersebut dalam beberapa siri PRU selepas itu terus menemui kegagalan.
Berdasarkan itu, penulis berpendapat adalah wajar Rosol diberi peluang untuk terus kekal bertanding di Parlimen Hulu Terengganu.
Malah, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Bersatu, Senator Datuk Razali Idris telah memberi restu kepada Rosol untuk berbuat demikian.
Razali yang juga bekas calon Bersatu dalam PRU-14 lalu, menyatakan beliau bersedia memberi peluang kepada Rosol bertanding sekalipun dia sendiri tidak terpilih.
Ketika bersembang dengan penulis baru-baru ini, Razali memberitahu beliau sudah menghantar cadangan nama Rosol kepada pucuk pimpinan tertinggi parti untuk dinilai.
Setakat ini BN Terengganu pula telah umumkan nama Rozi yang akan bertanding di Parlimen Hulu Terengganu manakala Pakatan Harapan (PH) belum berbuat demikian.
Pengumuman Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong sebagai calon pertama mewakili BN bertanding kerusi Parlimen Hulu Terengganu pada PRU15 dibuat Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said pada Majlis Sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana UMNO Bahagian Hulu Terengganu pada 11 Mei lalu.
Dalam PRU-14 lalu Rosol yang ketika itu mewakili BN menang dengan majoriti 2,868 undi.
Rosol yang memperoleh 30,925 undi berjaya menewaskan calon Pas, Muhyidin Abdul Rashid (28,057 undi) dan Datuk Razali Idris (Bersatu-Pakatan Rakyat) yang hanya mendapat 3,364 undi dan hilang deposit.
Dalam PRU-15 nanti, ramai yang sudah berteka teki; milik siapakah kerusi Parlimen Hulu Terengganu sekiranya berlaku pertandingan dua penjuru antara Rosol dan Rozi.
Apa yang pasti hanya pengundi yang dapat menentukan kemenangan calon pilihan masing-masing.
Cuma ada yang berasa khuatir sekiranya Pas masih mahu meletakkan bekas calonnya, Muhyidin yang juga merupakan Setiausaha Politik kepada Menteri Besar bertanding di kerusi ini.
Leave a Reply