Tiba-tiba isu cukai barang dan perkhidmatan (GST) menjadi topik perbualan rakyat dan pakar ekonomi ketika ini.

Ia susulan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam wawancara bersama Asian Nikkei di Jepun baru-baru ini yang tidak menolak kemungkinan akan mengembalikan GST.

Kata Ismail Sabri, GST dilihat sebagai satu cara efektif menambah pendapatan negara bagi menangani kenaikan inflasi dan kos sara hidup rakyat.

Kata Ismail Sabri, semenjak GST dimansuhkan dan digantikan dengan cukai jualan dan perkhidmatan (SST), negara kehilangan RM30 bilion setahun.

Dan semalam, setelah banyak pihak memberi reaksi segera, Ismail Sabri menjelaskan bahawa GST masih dalam kajian dan tidak akan dilaksanakan dalam masa terdekat kerana kerajaan sedang dalam kajian untuk melihat kesesuaian pelaksanaan rejim cukai itu.

Ismail Sabri terpaksa memberi penjelasan tambahan kerana GST bukan isu kecil dan antara faktor kerajaan Barisan Nasional (BN) tumbang pada Pilihanraya Umum ke-14 ialah disebabkan kemarahan rakyat berkaitan GST.

Setelah melalui tempoh dari SST kepada GST dan kembali kepada SST semula, Tok Chey secara jujurnya setuju GST dilaksanakan semula tetapi dengan beberapa syarat.

Pertamanya, Tok Chey senada dengan pakar-pakar ekonomi dan penggiat industri seperti Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) iaitu GST boleh dilaksanakan tetapi perlu bermula dengan kadar rendah. Kadar yang sesuai ialah sekitar dua hingga tiga peratus dan bukannya kadar drastik yang dikenakan semasa ia dilaksanakan ketika Datuk Seri Najib Razak menjadi Perdana Menteri.

Apabila keadaan makin stabil dan pendapatan rakyat pun kembali kukuh, maka ia boleh dinaikkan secara berperingkat hingga satu kadar yang masih munasabah. Keduanya, pelaksanaan paling awal adalah pada tahun depan kerana ketika ini isu kos sara hidup amat menekan rakyat di mana hampir keseluruhan barang keperluan mengalami kenaikan harga.

Seperti yang dilalui semua pengguna, majoriti barang keperluan mengalami kenaikan dan pada masa sama pendapatan pengguna masih rendah disebabkan ada yang berhadapan dengan pengurangan gaji dan kehilangan pekerjaan. Dengan nilai Ringgit yang terus melemah, maka secara tidak langsung pelaksanaan itu akan menyulitkan lagi pengguna dan peniaga kecil.

Ketiganya ialah sistem perbelanjaan kerajaan perlu dinilai semula kerana banyak ketirisan yang masih berlaku dalam pentadbiran kerajaan ketika ini.Contohnya bagaimana wang rakyat yang diperolehi daripada hasil cukai dibelanjakan dengan cara yang amat tidak berhemah.

Tok Chey melihat wujud lagi kelemahan pengurusan kerajaan apabila Laporan Ketua Audit Negara masih lagi melaporkan kelemahan pelbagai kementerian.

Masih berlaku kes di mana projek disiapkan yang tidak mengikut spesifikasi, projek belum siap tetapi sudah diluluskan bayaran, bayaran sesuatu projek melebihi nilai sewajarnya, pembelian aset-aset yang tidak perlu, projek terbengkalai dan macam-macam lagi.

Akhir sekali yang paling penting dan jika tidak ditangani, walau sebanyak mana cukai dikutip, sebanyak mana rizab negara semuanya akan habis jika masalah rasuah masih berleluasa dan tidak ditangani dengan segera.

Sehingga hari ini, masih lagi dilaporkan kes-kes songlap duit jutaan ringgit melibatkan pemimpin politik, penjawat awam dan syarikat berkaitan kerajaan. Boleh dikatakan hampir setiap hari pasti ada penangkapan melibatkan kes rasuah yang majoritinya melibatkan wang rakyat yang sepatutnya disalurkan kepada kepentingan bersama.

Oleh itu, adalah menjadi kewajipan kerajaan untuk memastikan semua isu berkaitan kecekapan pentadbiran ditangani dengan sebaiknya kerana Tok Chey tidak mahu kebaikan GST menjadi ‘bala’ kepada rakyat.

Contohi negara-negara luar yang mengenakan GST tetapi mampu mewujudkan suasana harmoni dalam kalangan rakyat mereka kerana hasil cukai dikembalikan kepada pengguna dan bukannya masuk ke poket sendiri.

*Tok Chey adalah pemerhati politik dan ekonomi yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam bidang kewartawanan arus perdana.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here