PESAWAT Nepal yang hilang dengan 22 penumpang di dalamnya ditemukan terhempas, lapor Xinhua, memetik Tentera Nepal pada pagi Isnin.
“Pesawat Tara Air ditemukan terhempas di Sanosware di Bahagian-2 Perbandaran Luar Bandar Thasang di daerah Mustang,” kata jurucakap tentera, Brigedier Jeneral Narayan Silwal dalam satu kenyataan.
“Butiran lanjut mengenainya akan menyusul.”
Pesawat Twin Otter yang membawa 19 penumpang dan tiga anak kapal, termasuk empat warga India dan dua warga Jerman, hilang pada pagi Ahad ketika dalam penerbangan dari bandar Pokhara ke bandar pergunungan Jomsom di daerah Mustang.
Dalam perkembangan terkini, sebanyak 14 mayat ditemukan di lokasi nahas pesawat penumpang Nepal di kawasan berbukit terpencil di daerah Mustang Nepal, lapor Xinhua, memetik Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Nepal pada Isnin.
“Empat belas mayat ditemukan di lokasi tetapi identiti mereka masih belum didedahkan,” kata agensi penerbangan itu dalam satu kenyataan.
Keadaan cuaca buruk menyukarkan operasi mencari dan menyelamat yang diketuai oleh Tentera Nepal.
Pasukan penyelamat dengan 11 anggota berada di lokasi nahas untuk mencari mayat mangsa, dan disebabkan keadaan cuaca buruk tiada pasukan lain dapat terbang ke lokasi, ketua pegawai daerah Mustang Netra Prasad Sharma memberitahu Xinhua.
“Kawasan itu mendung sehingga mengganggu jarak penglihatan,” katanya. – BERNAMA
Leave a Reply