TIDAK sukar untuk memahami mengapa Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO begitu kuat mendesak supaya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan segera. Ia bukan kerana pemimpin BN/UMNO berasakan parti itu semakin kuat atau kembali diterima rakyat selepas kekalahan teruk pada PRU-14.

Apatah lagi di dalam UMNO sendiri masih kuat berlaku penolakan kepada Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahidi Hamidi yang kini berdepan pelbagai isu rasuah yang dilihat tidak memberi kelebihan untuk ditonjolkan kepada rakyat pada PRU-15.

Sebaliknya keyakinan BN/UMNO untuk menang selesa pada PRU-15 lebih kepada mengambil kesempatan atau menggunakan peluang daripada kelemahan yang ada pada lawan politik mereka ketika ini khususnya Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

BN/UMNO sangat menyedari sekiranya gelanggang PRU-15 dibuka dalam situasi PH dan PN kekal sebagai sebuah entiti politik berbeza, kemenangan mutlak hampir pasti dalam genggaman mereka.

Perkara itu juga sudah terbukti dalam beberapa siri pilihan raya kecil (PRK) dan negeri (PRN) sebelum ini yang menyaksikan calon BN/UMNO mendapat kelebihan daripada perpecahan undi lawan politik mereka.

Kelebihan sama sebenarnya pernah memihak kepada pembangkang pada PRU-14 apabila perpecahan undi antara penyokong Pas dan BN membolehkan mereka mencipta sejarah pertama kali menumbangkan kerajaan BN. Maka dengan pengalaman yang ada serta pengajaran daripada kekalahan berterusan pada PRK dan PRN, PH dan PN sepatutnya menyedari satu-satunya formula untuk menghalang BN pada PRU-15 adalah dengan mengelak pertandingan sesama sendiri.

Sebab itu pemimpin PH dan PN perlu terbuka apabila ada dalam kalangan pemimpin mereka mencadangkan konsep kerjasama terbaharu sesama musuh politik BN dalam berdepan PRU-15. Kerjasama itu tidak semestinya perlu sehingga ke tahap membentuk gabungan parti politik baharu seperti PH 2.0 atau sebagainya.

Ini kerana idea sedemikian bukan sahaja akan menjadi bahan lelucon rakyat melihat kepada drama' danpengkhianatan’ sehingga menyebabkan PH hanya mampu memerintah negara selama 22 bulan selepas PRU-14.

Lebih daripada itu, gabungan PH 2.0 juga hampir mustahil untuk berlaku melihat kepada hubungan sesama parti pembangkang seperti DAP, Bersatu, PKR, Pas dan Amanah yang sukar bertaut seperti sebelum ini.

Namun kerjasama itu masih boleh wujud misalnya menerusi perjanjian persefahaman (MoU) yang tidak terlalu serius iaitu dengan jaminan pembangkang tidak akan menentang sesama sendiri dan hanya bertanding satu lawan satu dengan BN.

MoU seperti itu dilihat lebih mudah dicapai khususnya dalam tempoh singkat menjelang PRU-15 yang dicanang-canang akan diadakan selepas Julai tahun ini. Apa yang paling utama adalah kepimpinan setiap parti di dalam PH dan PN perlu bersedia mengorbankan ego masing-masing dan memberi fokus hanya kepada matlamat menumbangkan BN.

Pemimpin PH dan PN perlu menyedari hanya menerusi formula itu, BN dapat dihalang untuk kembali berkuasa penuh di dalam kerajaan yang mana sekiranya berlaku akan menyebabkan situasi politik mereka selepas itu menjadi lebih sukar. Mereka juga perlu menyedari meletakkan hanya calon pembangkang untuk menentang BN juga memberi pilihan yang mudah kepada pengundi untuk menentukan parti mana yang menjadi pilihan mereka.

Ini boleh mengelak daripada tindakan protes atau memboikot rakyat yang tidak mahu mengundi pada PRU-15 kerana berasakan undi mereka tidak lagi penting apabila terdapat terlalu ramai calon bertanding di sesebuah kerusi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here