SEORANG remaja lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sungai Petani hari ini atas dua pertuduhan memandu secara berbahaya hingga menyebabkan dua pemotong rumput maut dalam kemalangan 7 Mei lalu.

Tertuduh yang berusia 17 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noor Fazlina Musa.

Memetik Astro Awani, mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang juga pelajar didakwa memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) milik bapanya secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian seorang pekerja pemotong rumput Siouca Chakma, 21, pada 11.10 pagi di Jalan Pintasan Semeling, 7 Mei lalu.

Manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memandu secara bahaya sehingga menyebabkan seorang lagi pekerja pemotong rumput Akter Kamal Hosen, 33, cedera parah pada tarikh, waktu dan tempat yang sama.

 Bagaimanapun, Akter Kamal meninggal dunia dua hari selepas kemalangan tersebut berlaku akibat kecederaan parah.

Bagi dua kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang dari lima tahun serta maksimum 10 tahun dan denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S Preeyaa manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Norfarahazlinda Zahari.

Mahkamah menetapkan 27 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat dan juga laporan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

Mahkamah turut membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.

 Dalam kejadian 7 Mei lalu dua pemotong dirempuh sebuah MPV ketika sedang berehat di bahu jalan di Jalan Pintasan Semeling berhampiran Taman Malinja, Bedong.

Seorang daripadanya maut di hari kejadian sementara rakannya pula meninggal dunia dua hari berikutnya.

Siasatan lanjut mendapati MPV terbabit dipandu remaja berkenaan yang tidak mempunyai lesen dan dia kemudian ditahan untuk diambil keterangan.

Remaja itu kemudian dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu kertas siasatan dilengkapkan dan hasil ujian air kencing mendapati dia tidak berada di bawah pengaruh dadah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here