BEKAS Pengerusi 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Tan Sri Mohd Bakke Salleh, memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak pernah bertanya kepadanya mengapa beliau meletak jawatan daripada syarikat itu pada 19 Oktober 2009.

Mohd Bakke yang menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram, ketika sesi pemeriksaan semula, berkata beliau banyak kali berjumpa dengan bekas perdana menteri itu selepas meletak jawatan.

Berita Harian melaporkan, ditanya Sri Ram sama ada dalam pertemuan itu, saksi (Mohd Bakke) merasakan bahawa Najib berpuas hati dengan peletakan jawatannya, Mohd Bakke menjawab, “Beliau (Najib) tidak pernah bertanya mengapa saya meletak jawatan, jadi urusan berjalan seperti biasa.”

Bakke memberikan keterangan terhadap Najib yang menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Sementara itu Mohd Bakke berkata, beliau berdepan kekangan untuk membuat aduan kepada Menteri Kewangan Dipebadankan (MOF Inc) atau jabatan berkaitan atau bersemuka dengan Najib sendiri berhubung penyelewengan dalam 1MDB, terutama membabitkan pembayaran terhadap pelaburan usaha sama 1MDB-PetroSaudi (JVCo) dalam dua peringkat yang menyebabkannya menimbangkan untuk meletak jawatan.

Saksi itu berkata, beliau merasa tidak selesa untuk pergi MOF Inc atau Najib dan mengadu mengenai perkara itu dengan menyatakan dia mengesyaki bekas perdana menteri memainkan peranan dalam penyelewengan berkenaan.

Pada peringkat itu, Sri Ram menggunakan perumpamaan dengan menyatakan ia seolah-olah mengadu tentang kehilangan biri-biri kepada serigala.

Dalam perbicaraan sebelum ini, Mohd Bakke memberitahu mahkamah, beliau meletak jawatan sebagai pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah selepas merasakan Najib terbabit dalam salah laku kewangan dan sesuatu tidak kena sedang berlaku di luar pengetahuannya.

Mohd Bakke berkata, ia disebabkan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar kepada bekas Najib yang menyatakan mengenai kebimbangan berhubung hal ehwal syarikat pelaburan strategik negara itu, tidak mendapat maklum balas daripada Najib.

Menurut Mohd Bakke, dalam SMS berkenaan, beliau memberitahu Najib bahawa terdapat beberapa perkara yang diarahkan oleh Ahli Lembaga Pengarah kepada pihak pengurusan syarikat, bagaimanapun arahan berkenaan tidak dipatuhi, bagaimanapun Najib tidak membalas SMS berkenaan.

Katanya, beliau tidak terlintas untuk melaporkan mengenai salah laku itu kepada pihak berkuasa kerana mengandaikan sudah berbuat demikian melalui SMS kepada Najib.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here