PENYANYI dan komposer Muhammad Yasin Sulaiman sudah mendapatkan rawatan penyakit bipolar kali pertama di Hospital Sungai Buloh, semalam.
Portal FMT melaporkan, Peguam Ariff Azami Hussein memaklumkan perkara itu ketika prosiding kes membabitkan Yasin yang berdepan pertuduhan menanam 17 pokok disyaki ganja dan mengedar dadah jenis sama di depan Hakim Mahkamah Sesyen Jamaludin Mat dan Majistret Zhafran Rahim Hamzah.
Katanya, Yasin akan mendapatkan rawatan susulan dalam tempoh enam minggu di hospital sama.
“Anak guam (Yassin) telah dibawa ke Hospital Sungai Buloh semalam untuk mendapatkan rawatan yang dipohon walaupun sedikit lewat dibawa ke hospital.
“Anak guam juga akan mendapatkan rawatan susulan dalam tempoh enam minggu di Hospital Sungai Buloh. Rawatan itu diuruskan pihak penjara dan anak guam dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan itu pada Selasa,” kata Ariff yang hadir bersama seorang lagi peguam Mohd Yusmadi Mohd Yusoff, mewakili Yasin
Pendakwaan pula dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norhashimah Hashim dan Maryam Jamilah Ab Manaff.
Semasa prosiding, Norhashimah memberitahu mahkamah bahawa laporan kimia masih belum diperoleh dan memohon tarikh sebutan lain bagi menyerahkannya.
Namun, Ariff memohon kepada mahkamah agar tarikh sebutan lebih singkat iaitu dalam tempoh dua minggu.
Kedua-dua mahkamah kemudian menetapkan sebutan kes pada 22 Jun ini untuk penyerahan laporan kimia.
Yasin ketika ditemui pemberita selepas prosiding berkata, beliau berterima kasih kepada Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar, pelakon Wardina Safiyyah dan rakan yang memberikan sokongan.
Turut kelihatan beberapa ahli kumpulan nasyid Brothers menyanyikan lagu “Teman Sejati” semasa Yasin keluar dari mahkamah.
Yasin berdepan hukuman mati apabila didakwa di Mahkamah Majistret pada 31 Mac lalu atas pertuduhan mengedar dadah jenis ganja.
Beliau juga berdepan pertuduhan menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang mana daripadanya disyaki ganja atau kanabis.
Leave a Reply