Oleh RAHIMI MOHAMMAD
SEORANG remaja lelaki yang sedang menunggu kelahiran cahaya mata kedua diberkas selepas menunggang motosikal dalam keadaan bahaya atau merempit di Tanjung Piai, Pontian, awal pagi ini.
Sebelum itu, suspek berusia 19 tahun yang turut memiliki anak berusia lima bulan bersama tiga rakannya dipercayai berlumba sesama sendiri dari arah Permas menghala ke Tanjung Piai pada pukul 1.38 pagi.
Menurut Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib, keempat-empat mereka termasuk remaja berkenaan didapati menunggang motosikal dengan kelajuan tinggi atau merempit sambil melakukan aksi ‘Superman’ yang membahayakan diri dan pengguna lain.
“Anggota dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Pontian yang berada di lokasi kejadian bagi Op Selamat Aidilfitri berjaya mengecam lelaki tersebut.
“Remaja itu yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135 LC kemudian ditahan pada pukul 1.55 pagi tidak jauh dari lokasi kejadian,” katanya, hari ini.
Tambah Mohammad Shofee, suspek yang bekerja sebagai juruteknik pendingin hawa itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian untuk siasatan di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Jika sabit kesalahan boleh dituduh di bawah seksyen sama yang memperuntukan hukuman penjara selama lima tahun atau denda tidak kurang RM5,000 dan maksimum RM15,000,” ujarnya lagi.

Sementara itu, kata beliau, sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini, Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Pontian menjalankan Op Cantas Khas, Op Kesan dan Op Aidilfitri yang bertujuan mencegah jenayah kekerasan dan harta benda.
Setakat hari ini katanya, seramai 306 orang, 74 buah premis dan 221 buah kenderaan telah diperiksa dengan seorang lelaki ditahan bersama motosikal curi yang dimilikinya.
“Malah, seramai enam lagi lelaki turut ditangkap atas lain-lain kesalahan. Operasi ini masih berjalan sepanjang tempoh perayaan ini dan BSJ Pontian sentiasa komited memelihara ketenteraman awam di daerah ini.
“Sebarang maklumat mengenai apa-apa pelakuan atau aktiviti jenayah boleh disalurkan kepada Pusat Kawalan Daerah IPD Pontian di talian 07-6869999,” katanya.
Leave a Reply