SEORANG bayi lelaki berusia enam bulan maut manakala ibunya patah paha kaki kiri apabila kereta yang dinaiki bersama keluarga terbabit dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 75 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu, dekat Kampung Air Sejuk, Setiu petang semalam.
Dalam kejadian pada pukul 4 petang itu, bayi tersebut, Mohammad Qais Rizqi Shafiee dilaporkan meninggal dunia di Hospital Setiu sementara ibunya yang berusia 29 tahun kini dirawat di hospital sama.
Menurut Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin, kemalangan tersebut melibatkan tiga kenderaan iaitu kereta Proton Saga FLX, kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Unser dan motosikal Honda Wave.
Menurut beliau, ketika kejadian, bapa mangsa yang memandu Proton Saga dalam perjalanan dari arah Rantau Panjang, Kelantan menuju ke Kuala Terengganu.
Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, Toyota Unser dipandu peniaga berusia 49 tahun yang datang dari arah Kuala Terengganu menuju ke Kota Bharu dikatakan memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan kereta berkenaan.
“Selepas itu, datang motosikal ditunggang seorang suri rumah dari arah sama dan juga Toyota Unser yang gagal mengelak lalu bergesel dengan kereta, itu” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.
Menurut Afandi, bapa bersama dua kakak mangsa yang berusia lima dan dua tahun tidak mengalami kecederaan.
Beliau berkata, semua mangsa terlibat dihantar ke hospital dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan APJ.
Leave a Reply