Oleh RAHIMI MOHAMAD

SEORANG lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas dakwaan melakukan seks luar tabii dengan seekor kucing sehingga haiwan peliharaan itu mati pada pertengahan bulan ini.

Tertuduh, Janting Anak Keling, 63, turut mengaku bersalah terhadap pertuduhan berkenaan yang berlaku di sebuah taman permainan di Skudai, Johor Bahru.

Pengakuan bersalah warga emas itu dilakukan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Fatimah Zahari.

Bagaimanapun, mahkamah difahamkan tidak menjatuhkan hukuman walaupun tertuduh telah mengaku bersalah bagi membolehkan penilaian dibuat terhadap dokumen kes terlebih dahulu.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh yang tidak bekerja itu telah melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii iaitu dengan seekor kucing menyebabkan haiwan tersebut mati.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu disebuah taman permainan kawasan perumahan di Taman Ungku Tun Aminah, Skudai pada pukul 4.30 pagi, 16 April lalu.

Sehubungan itu, dia didakwa di bawah Seksyen 377 kanun keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga dikenakan denda atau sebatan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memberitahu, dia memohon agar wang jaminan dikurangkan kerana tidak bekerja dan hanya berada di negeri ini untuk melawat anaknya yang menetap di kawasan berkenaan.

Mahkamah kemudian menetapkan wang jaminan sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan tarikh 25 Mei ini untuk sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S. Thiviya.

Terdahulu, tertuduh ditahan selepas satu laporan polis dibuat keatasnya oleh seorang penduduk kawasan perumahan itu yang menjadi saksi kepada kejadian tersebut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here