kereta peronda polis

Pekerja balak warga Indonesia amuk bakar kereta peronda polis

SEORANG pekerja balak warga Indonesia dikatakan secara tiba-tiba mengamuk dan membakar sebuah kereta peronda polis (MPV) dalam kejadian di Kampung Silicon, Nenasi, Pekan, malam tadi.

Menurut Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani, panggilan mengenai kejadian itu diterima pihaknya pada pukul 11.47 malam.

Menurut beliau, sebaik sahaja menerima panggilan sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nenasi, Pekan bersama sebuah jentera terus bergegas ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, berdasarkan laporan, kebakaran dipercayai dilakukan seorang pekerja ladang yang mengamuk apabila sengaja membakar kereta peronda polis tersebut.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kita tidak dapat melakukan operasi pemadaman serta-merta kerana faktor keselamatan,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

Menurut Ismail, atas arahan Ketua Balai Polis Nenasi, anggota bomba akhirnya dibenarkan menjalankan operasi pemadaman setelah keadaan didapati selamat.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemusnahan akibat kebakaran adalah 100 peratus.

Ujarnya, pasukan bomba meminta bantuan Unit K9 untuk membantu siasatan kebakaran.

Sementara itu memetik laporan Bernama,

Ketua Polis Daerah Pekan, Supt Mohd Zaidi Mat Zin berkata, kejadian berlaku sekitar pukul 11 malam apabila pihaknya menerima maklumat daripada penjaga tanah matau balak yang mengatakan terdapat seorang lelaki warga Indonesia berusia 30-an sedang mengamuk di kawasan rumah kongsi.

Beliau berkata, tiga anggota polis ke lokasi kejadian dengan menaiki kereta peronda berkenaan dan sejurus tiba suspek berada seorang diri di kawasan rumah kongsi tersebut.

“Semasa pemeriksaan dilakukan suspek telah bertindak agresif terhadap anggota polis dengan memukul dan mencederakan dua anggota sebelum bertindak masuk ke rumah kongsi dan mengambil satu objek menyala seperti api dan membalingnya ke dalam kenderaan polis.

“Seorang anggota yang masih berada di dalam kenderaan bertindak keluar daripada kereta untuk menyelamatkan diri manakala suspek terus lari ke dalam kawasan hutan berhampiran dan sehingga kini masih belum dapat dikesan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Zaidi berkata, dua anggotanya hanya hanya mengalami kecederaan ringan akibat bergelut dan kini Op Tutup dilaksanakan untuk mengesan suspek di sekitar lokasi kejadian.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan.

Dalam perkembangan terkini, pekerja balak warga Indonesia yang dipercayai membakar kereta peronda polis terbabit telah ditahan polis.

Mohd Zaidi berkata, lelaki berusia 30-an itu ditahan berhampiran lokasi kejadian pada 4.20 petang tadi dan polis turut merampas sebatang tukul dan sebatang kayu daripada suspek.

“Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret esok untuk pemohonan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *