Oleh RIZQI ZABIDI
SEORANG kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun meninggal dunia dalam keadaan menyayat hati setelah dia terperosok di bawah kereta milik keluarganya sendiri, di Kampung Keledang Luar Tawar di Baling, Kedah semalam.
Ketua Polis Baling, Superitendan Shamsudin Mamat berkata, pemeriksaan awal mendapati kanak-kanak perempuan tersebut mengalami pendarahan di kepala dengan tengkoraknya dipercayai turut patah akibat digilis kereta jenis Proton Wira tersebut.
Menurutnya, bapa dan nenek mangsa tiada di rumah ketika kejadian itu berlaku dengan mangsa hanya tinggal bersama bapa saudaranya, serta adik-beradik lain yang berumur antara tujuh hingga 15 tahun.
“Kira-kira pukul 2.15 petang, bapa saudara mangsa yang bekerja sebagai pemandu ambulans swasta terdengar jeritan anak-anak saudaranya yang lain menyatakan mangsa berada di bawah kereta.
“Dia kemudiannya menolak kereta tersebut ke arah depan dan berjaya mengeluarkan mangsa sebelum membawanya ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Sungai Petani, menggunakan ambulans yang majikannya,” katanya.
Tambahnya, mangsa ketika itu berada dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum pihak hospital mengesahkan bahawa mangsa telah meninggal dunia sewaktu dalam perjalanan.
“Menurut saksi kejadian, mangsa telah masuk ke dalam kereta dan bermain di bahagian pemandu. Kanak-kanak itu bagaimanapun dipercayai menurunkan brek tangan, menyebabkan kereta itu mengundur ke belakang.
“Mangsa yang panik kemudiannya turun dari kereta dan berlari ke belakang untuk menahan kenderaan tersebut. Tindakan itu menyebabkan dia digilis kenderaan tersebut,” katanya.
Tambahnya, pemeriksaan mendapati rumah tersebut tidak berpagar dan terletak di kawasan yang agak cerun serta berbukit.
“Kereta itu diletak di bawah beranda dan permukaan beranda adalah bercerun hingga ke laman rumah.
“Kereta yang melanggar mangsa itu mempunyai kesan kemik di belakangnya dipercayai akibat berlanggar dengan sebatang pokok. Kereta itu dipercayai hanya terhenti apabila berlanggar dengan pokok tersebut,” katanya.
Tambahnya, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk dibedah siasat.
“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 namun kematian tersebut setakat ini diklasifikan sebagai kematian mengejut (SDR).
“Pihak polis menasihati orang ramai atau penjaga supaya sentiasa prihatin dan melindungi keselamatan anak-anak dengan baik bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini,” katanya.
Leave a Reply