Bicara kes pendakwah selebriti cabul, lakukan seks luar tabii ditangguhkan

MAHKAMAH Sesyen Petaling Jaya hari ini menangguhkan perbicaraan jenayah seksual membabitkan pendakwah selebriti, Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful atas pertuduhan mencabul dan melakukan seks luar tabii terhadap seorang penuntut kolej ditangguhkan ke Mei depan selepas mangsa tidak hadir bagi memberi keterangan.

Sebelum ini mahkamah menetapkan hari ini untuk perbicaraan hari pertama kes, dengan saksi utama iaitu seorang penuntut kolej swasta berusia 24 tahun memberi keterangan.

Ketika prosiding di hadapan Hakim Jamaludin Mat, Timbalan Pendakwa Raya Norhashimah Hashim memohon agar tarikh bicara sebanyak lapan hari pada April dilapangkan dan ditetapkan bicara pada 17 Mei.

Sementara itu, peguam Syed Amirul Syed Edros yang mewakili Syed Shah Iqmal berkata, berhubung permohonan pihak pendakwaan, pihaknya berharap tiada sebarang hak diprejudiskan terhadap anak guamnya.

“Kami juga tidak membantah sekiranya prosiding dilapangkan,” katanya memetik lapor Sinar Harian.

Pada 10 Disember 2020, Syed Shah Iqmal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pertuduhan melakukan persetubuhan di luar tabii terhadap seorang wanita ketika kejadian berusia 22 tahun, di rumah sewa tertuduh di Damansara Perdana di sini, antara pukul 3 hingga 4 pagi, 17 Oktober 2020.

Dia didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, pada tarikh sama di Mahkamah Majistret, dia turut didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa sama dengan maksud untuk mencabul kehormatannya, pada tarikh dan lokasi sama.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Pada 19 Mac 2021, Mahkamah Majistret membenarkan kes cabul yang dihadapi Syed Shah Iqmal dipindahkan ke Mahkamah Sesyen, untuk dibicarakan bersama.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *