BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang merayu bagi membatalkan sabitannya dalam kes rasuah SRC International Sdn. Bhd. bernilai RM42 juta, memohon lanjutan masa untuk memfailkan alasan rayuannya di Mahkamah Persekutuan.

Portal FMT hari ini melaporkan, Najib yang memfailkan usul minggu lalu, mahu mahkamah memberinya tempoh sehingga 25 April untuk memfailkan petisyen rayuan.

Rekod rayuan daripada Mahkamah Rayuan diserahkan kepada peguam Najib dan pihak pendakwaan pada 31 Mac.

Menurut peraturan Mahkamah Persekutuan, Najib dikehendaki memfailkan alasan rayuannya dalam tempoh 10 hari.

Dalam afidavit untuk menyokong usul itu, Najib berkata Mahkamah Rayuan membekalkan peguamnya 176 jilid rekod rayuan.

“Mustahil untuk peguam meneliti rekod itu dalam tempoh yang singkat bagi menyediakan petisyen dan menjawab penghakiman Mahkamah Rayuan,” katanya dalam usul yang dilihat FMT.

Katanya, beliau telah memaklumkan perkara itu kepada pendakwa raya ad hoc V. Sithambaram dan Timbalan Pendakwa Raya, Ashrof Adrin Kamarul semasa pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Siti Hajar Mustaffa dan Wan Fatimah Zaharah Yussof pada 8 April lalu.

Pihak pendakwaan, yang merupakan responden, tidak menyuarakan bantahan terhadap permohonan Najib untuk melanjutkan masa memfailkan rekod rayuan.

“Saya percaya mahkamah akan membenarkan permohonan itu demi keadilan kerana rekod rayuan yang banyak perlu diteliti pihak pembelaan,” kata Najib, yang telah memfailkan perakuan segera untuk Mahkamah Persekutuan mendengar usul itu.

Pada 8 Disember, panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan diketuai Abdul Karim Abdul Jalil mengesahkan sabitan Najib dan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kerana salah guna kuasa, pengubahan wang haram, dan penyelewengan RM42 juta dana SRC.

Karim berkata hakim perbicaran Nazlan Mohd. Ghazali yang kini hakim Mahkamah Rayuan, tidak membuat keputusan salah untuk campur tangan rayuan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here