ramadan

Cukup-cukuplah gaduh pasal politik semasa Ramadan

guane

SETIAP kali tiba bulan Ramadan, umat Islam di negara ini akan menyambutnya dengan perasaan bangga, penuh kesukuran dan ketakwaan.

Bagi mereka yang tinggal di kampung, sebaik sahaja anak bulan Ramadan kelihatan, maka bermulalah pelbagai aktiviti keagamaan sama ada dilakukan di rumah atau surau surau berhampiran.

Selain golongan dewasa boleh dikatakan surau surau atau masjid pada sebelah malamnya sentiasa penuh sesak dengan orang ramai termasuk golongan remaja dan kanak-kanak sama ada lelaki atau perempuan.

Begitulah betapa indahnya kehadiran malam malam sepanjang Ramadan, menyebabkan tradisi menyambut bulan yang penuh keberkatan ini sentiasa meninggalkan kenangan dan nostalgia indah bagi mereka yang mengerjakan ibadah tersebut.

Bagaimanapun, itu cerita dahulu, zaman datuk nenek kita, iaitu cerita zaman manusia hidup dalam kegelapan malam tiada bekalan elektrik, tetapi sentiasa tenang, terang dan damai di hati kerana mereka hidup berjiran, bermuafakat serta tolong menolong.

ramadan
Umat Islam digalakkan melakukan tadarus al-Quran sepanjang bulan Ramadan kerana perbuatan itu adalah jauh lebih baik daripada bertelagah kerana isu politik. (Gambar hiasan: Warta Rakyat)

Mereka tidak dilalaikan dengan program hiburan karut-marut menerusi kaca televisyen.

Malah mereka juga tidak bermasam muka akibat percakapan dan perbalahan politik sempit sehingga boleh meruntuhkan institusi kekeluargaan dalam masyarakat.

Kalau dahulu, sepanjang Ramadan kebanyakan umat Islam menunaikan ibadah puasa dengan penuh berhati hati dan khusyuk termasuk dengan menjaga setiap perkara memudaratkan iaitu yang boleh mengurangkan pahala puasa, jaga tingkah laku, lidah,  mulut, mata dan juga telinga.

Malangnya, penulis mendapati suasana seperti itu sudah lama berlalu, ada dalam kalangan umat Islam kini semakin lalut sehingga setiap detik dan masa mereka lebih gemar ‘berkelahi’ mengenai politik.

Bermula dari anak-anak muda hinggalah kepada golongan veteran, mereka akan bercakap politik, di bangku tepi jalan, warung kopi, taman permainan, malah di surau pun ada yang bersembang politik.

Apa yang penulis perhatikan, bukan sahaja pemimpin parti sahaja yang bercakap mengenai politik, tetapi pengikut dan golongan marhain pun melakukan perkara sama.

Begitulah betapa hebatnya pengaruh politik di negara ini di mana tanpa disedari ia turut memberi kemudaratan kepada masyarakat, iaitu perpercahan dan permusuhan antara sesama Islam.

Justeru, sempena bulan Ramadan kali ini penulis benar-benar mengharapkan semua parti politik di negara ini khususnya politik Melayu sama ada mewakili pemerintah ataupun pembangkang seharusnya ‘berdamai’ dengan mengadakan ‘gencatan isu’ selama sebulan bagi melalui bulan Ramadan yang mulia ini.

Memandangkan Ramadan merupakan bulan penuh barakah, semua pemimpin politik Melayu perlu berehat seketika untuk membolehkan mereka sama sama menjalani ibadah puasa sambil menghayati tuntutan sebenar kemahuan agama, bangsa dan negara.

Ia penting kerana tiada siapa di antara kita mengetahui apakah nasib kita selepas ini dan adakah kita masih dipanjangkan usia untuk kembali menyambut kedatangan Ramadan pada tahun hadapan?

Atau apakah sambutan Ramadan kali ini yang terakhir bagi kita?

Walaupun ia bukan hajat atau harapan kita, namun penularan pelbagai jenis wabak seperti Influeza A (H1N1) dan Covid-19 yang turut dikaitkan sebagai penyakit akhir zaman kini amat membimbangkan.

Oleh itu, sebagai umat Islam, kita seharusnya akur dan reda dengan apa yang berlaku, tetapi pada masa yang sama kita juga perlu berikhtiar untuk mencari jalan terbaik bagi mengatasinya.

Berdasarkan perkara itulah, sepanjang bulan Ramadan kali ini setiap pemimpin politik perlu menginsafi setiap kejadian yang berlaku.

Mereka perlu berganding bahu dengan mengadakan muzakarah atau perbincangan secara meja bulat bagi memikirkan nasib rakyat, bukan hanya pentingkan soal politik semata-mata.

politik
Biarlah berpolitik semasa musim pilihan raya sahaja, tak perlu diheret semasa bulan Ramadan. (Gambar hiasan: Warta Rakyat)

Pada bulan yang mulia ini setiap pemimpin politik Melayu tidak perlu ‘bertempur’, bertikam lidah dengan pelbagai isu kontroversi sehingga menimbulkan kekeliruan rakyat.

Janganlah mendedahkan keburukan dan aib orang lain kerana ia akhirnya turut menelanjangi keburukan bangsa Melayu sendiri.

Tuduh menuduh, serang menyerang dengan pelbagai isu panas bukan sahaja boleh meretakkan hubungan dan perpaduan, sebaliknya ia turut mendorong kepada perpecahan umat Islam.

Justeru, jika kita pentingkan bangsa dan agama yang semakin mengecil ini, sama sama kita memenuhi sepanjang malam Ramadan ini dengan berdoa ke arah jalan kebaikan.

Sudah sampai masanya para pemimpin politik Melayu tidak lagi berkelahi sesama sendiri hanya disebabkan perbezaaan fahaman politik sempit, pangkat dan kuasa.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *