TEBUAN Tanah (TT) ‘kagum’ apabila Majlis Tertinggi (MT) UMNO sebulat suara menamakan Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri (PM) parti itu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Ikhlas cakap, TT sama sekali tidak pertikaikan apatah lagi mempersoalkan pemilihan Ismail. Cuma apa yang TT tertanya-tanya kalaulah betul wujud solidariti tiinggi dan jiwa besar keseluruhan kepemimpinan UMNO pusat khususnya MT, kenapa perlu parti itu menangguhkan pemilihan?
UMNO sepatutnya tidak perlu takut mengadakan pemilihan memandangkan sudah jelas dengan terpilihnya Ismail sebagai calon PM maka sudah tentulah bahagian-bahagian UMNO mendapat isyarat siapa yang harus dipilih sebagai Presiden parti.
TT juga percaya Ahmad Zahid Hamidi, Mohamad Hasan dan Najib Razak tidak ada masalah jika Ismail menduduki jawatan tersebut. Melalui cara itu ia akan memudahkan Ismail yang dicadangkan oleh Annuar Musa dan turut disokong oleh Nazri Aziz untuk menjadi Pengerusi BN dapat mengaturkan strategi bagi menghadapi PRU-15. Tafsiran atau tanggapan atau kebimbangan pemilihan parti akan menyebabkan UMNO berpecah adalah hujah dangkal dan akan dianggap satu alasan untuk mengelakkan ia diadakan.
Kalaulah di peringkat kepemimpinan ‘sudah ada jiwa besar dan solidariti tertinggi’ sudah pastilah anak-anak buah di bawah akan mencontohinya.
Merekapun tidak akan membuat onar sebaliknya akan memastikan perpaduan dalam parti tidak terpecah hanya disebabkan pemilihan. Lagi pula, parti-parti lain sudahpun membuat pemilihan tanpa sedikitpun rasa bimbang akan berlaku perpecahan. Sama ada DAP, Pas mahupun PKR semuanya sudah dan akan membuat pemilihan, jadi kenapa UMNO bimbang sangat?
Jika Ismail tidak menjadi Presiden UMNO atau Pengerusi BN…langkah MT mencalonkan nama beliau boleh mewujudkan persepsi adakah Ismail yang merupakan Naib Presiden UMNO hanya akan mengikut sahaja siapa akan dipilih sebagai calon pilihan raya dan strategi yang diatur oleh pemimpin lain?
TT percaya Ismail mempunyai kemampuan bukan sahaja menggalas tanggungjawab sebagai calon PM tetapi juga Presiden UMNO dan Pengerusi BN. Atas sebab itulah kepemimpinan UMNO dan MT UMNO yang digambarkan mempunyai solidariti tertinggi serta tidak ada sebarang perpecahan antara mereka perlu berani membuat ketetapan supaya pemilihan diadakan sebelum PRU-15.
Ismail bukanlah setahun jagung berada dalam politik mahupun kepemimpinan UMNO. Beliau sudah meredah berbelas-belas PRU, berpuluh-puluh PRK dan beberapa PRN, justeru sudah pasti beliau mempunyai strategi bagi memantapkan UMNO bagi menghadapi PRU-15.
TT bimbang jika Ismail tidak diberi kuasa penuh untuk mengendalikan UMNO dan BN bagi menghadapi PRU-15, ia akan menyebabkan timbul tanggapan bukan-bukan terhadap pemilihan beliau sebagai calon PM. Perlu difahami Ismail dinamakan sebagai calon PM bukan sebagai salah satu calon dalam pilihan raya.
Kalau sekadar calon pilihan raya, okay la…beliau hanya mengikur sahaja siapa sahaja menjadi calon lain dan menyerahkan kepada kepemimpinan parti menentukan strategi parti, tetapi beliau adalah calon PM…sama ada beliau boleh menyambung tugas sebagai PM atau tidak selepas PRU-15, ia bergantung kepada pencapaian UMNO dan BN dalam pilihan raya berkenaan.
Oleh itu TT pendapat, lebih baik kepemimpinan UMNO memantapkan pencalonan Ismail dengan menyerahkan segala urusan bagi menghadapi pilihan raya umum kepada Ismail. Biar Ismail mewujudkan pasukan beliau sendiri bagi merangka percaturan bagaimana UMNO dan BN boleh menang cemerlang dalam PRU-15, kalau itu tidak dilakukan, mungkin Ismail sekadar dicalonkan tetapi belum tentu dapat mengangkat sumpah jawatan sebagai PM.
*Tebuan Tanah (TT) berpengalaman lebih 30 tahun dalam bidang kewartawanan.
Leave a Reply