tangan umno terikat ismail Sabri Perdana Menteri

Keputusan Ismail Sabri calon PM gambarkan ‘tangan UMNO terikat’

KEPUTUSAN UMNO mencadangkan Naib Presidennya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dianggap sudah dijangka.

Memetik laporan FMT, dua penganalisis politik bersependapat bahawa keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu menunjukkan parti tersebut tidak mempunyai banyak pilihan dan ‘tangannya terikat’.

Felo kanan Akademi Nusantara (kajian strategik), Azmi Hassan berkata dari segi strategi parti, keputusan MKT UMNO semalam untuk menamakan Ismail Sabri sebagai calon perdana menterinya bukanlah sesuatu yang mengejutkan.

“Tangan UMNO terikat. Ismail Sabri adalah Perdana Menteri sekarang dan tidak menamakannya sebagai calon untuk PRU-15 dilihat tidak baik untuk dirinya.

“Saya juga fikir adalah baik untuk menamakan beliau kerana ini akan menyejukkan politik dalaman UMNO,” katanya.

Walaupun mengakui bahawa nama Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan telah disebut sebagai calon parti yang berpotensi untuk menjadi perdana menteri, Azmi menyatakan bahawa bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu tidak pernah menjadi Ahli Parlimen, dan beliau tidak pernah menyatakan harapan untuk berada di tempat paling atas itu sendiri.

Sambil menegaskan bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau itu akan menjadi Perdana Menteri yang berkebolehan, Azmi berkata, dengan mencalonkan Mohamad, ia akan kelihatan seolah-olah UMNO “cuba menolak Ismail Sabri”.

Sementara itu, Prof James Chin dari Institut Asia Universiti Tasmania pula berkata, UMNO tidak mempunyai banyak pilihan mengenai siapa yang hendak dicalonkan berikutan kes mahkamah yang dihadapi Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Menyifatkan Ismail Sabri sebagai “wajah UMNO yang boleh diterima” dengan melihat kes rasuah melibatkan kedua-dua pemimpin itu, beliau berkata ia “tidak merugikan UMNO” untuk mencalonkan Ismail Sabri selain akan menghantar isyarat terhadap kestabilan dan kesinambungan.

James menambah, sebagai Perdana Menteri, ia terpulang kepada Ismail Sabri untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai pembubaran Parlimen, yang akan membuka jalan kepada pilihan raya baharu.

“Jika anda tidak menamakan Ismail Sabri sebagai calon perdana menteri, mengapa dia perlu bersusah payah pergi menghadap Agong dan melepaskan dirinya daripada jawatan itu?

“Jadi, dalam beberapa cara, tangan mereka (UMNO) terikat,” jelasnya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *