BANJIR buruk mengorbankan 259 orang di bandar Durban, Afrika Selatan dan sekitarnya dengan lereng bukit hanyut, rumah runtuh dan lebih ramai dikhuatiri masih hilang.
Hujan paling lebat dalam tempoh 60 tahun melanda perbandaran Durban, yang dikenali sebagai eThekwini.
“Pada masa ini angka disahkan terkorban semasa bencana ialah 259 orang di seluruh wilayah KwaZulu-Natal (KZN),” kata jurucakap jabatan pengurusan bencana wilayah Nonala Ndlovu, lapor agensi berita asing.
Presiden Cyril Ramaphosa menyifatkan banjir itu sebagai ‘bencana’ dan ‘malapetaka’
“Jambatan runtuh. Jalan raya runtuh. Orang sudah mati. Ini malapetaka besar,” katanya yang berjanji berusaha menangani bencana itu.
Ramphosa berkata, bencana itu adalah sebahagian daripada perubahan iklim.
‘’Kita tidak lagi boleh menangguhkan apa yang perlu kita lakukan… untuk menangani perubahan iklim. Ia di sini, dan keupayaan pengurusan bencana kita perlu berada pada tahap yang lebih tinggi,” katanya.
Gereja United Methodist di perbandaran Clermont pula menjadi timbunan runtuhan dengan empat kanak-kanak daripada keluarga tempatan maut apabila tembok runtuh menimpa mereka.
Rumah lain tergantung tidak menentu di lereng bukit, namun masih utuh selepas banyak tanah di bawahnya dihanyutkan dalam banjir lumpur.
Antara rumah milik Nokuthula Ntantiso yang terselamat, namun nasib berbeza menimpa ramai yang lain di perbandaran Umlazinya.
“Ia menakutkan. Malam tadi pun saya tidak tidur kerana saya tertanya-tanya sama ada (rumah) yang saya tidur ini boleh runtuh pada bila-bila masa,” kata pengendali pusat panggilan berusia 31 tahun itu.
Dia cuba keluar bekerja semalam, tetapi terpaksa berpatah balik disebabkan jambatan runtuh.
Ribut itu memaksa pelabuhan terpenting Afrika sub-Sahara untuk menghentikan operasi, kerana jalan masuk utama mengalami kerosakan teruk.
Kontena perkapalan pula dilihat bertindih-tindih, dihanyutkan sehingga menjadi seperti gunung-gunung logam tinggi melebihi lebuh raya bertingkat.
Bahagian jalan juga dihanyutkan, meninggalkan kesan rosak yang besar melebihi trak besar.
Lebuh raya utama pula dipenuhi pokok dan lumpur yang dalam sehingga jentolak terpaksa dipanggil untuk membantu membersihkannya.
Penghadang lebuh raya juga dilihat berpintal seperti pembersih paip di sepanjang tepi jalan.
“Kami melihat tragedi sebegitu melanda negara lain seperti Mozambique, Zimbabwe, tetapi kini kami pula yang terjejas,” kata Ramaphosa ketika dia bertemu keluarga yang kesedihan berhampiran runtuhan gereja.
Afrika Selatan mengalami bencana alam seperti ribut tropika hampir setiap tahun, namun negara industri di benua itu sebahagian besarnya terlindung daripada ribut yang terbentuk di Lautan Hindi.
Leave a Reply