SEORANG doktor rugi hampir RM200,000 selepas diperdaya dengan tawaran kerja sambilan yang diiklankan dalam Facebook pada Jumaat lalu.
Mangsa berusia 29 tahun sebelum itu berkenalan dengan seorang individu yang dikenalinya melalui laman sosial Instagram.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan, Superitendan Aibee Abd Ghani, individu terbabit menawarkan satu pekerjaan sambilan secara digital marketing.
“Mangsa yang berminat dengan pekerjaan itu telah dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp yang diuruskan oleh seorang lelaki.
“Mangsa diberi satu tugasan untuk membuat pembelian barangan di laman web berkenaan serta dijanjikan komisen,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.
Menurut Aibee, tugasan pertama mangsa berjumlah RM99 telah dijanjikan komisen sebanyak 10 peratus daripada modal yang dibuat.
“Selepas itu mangsa diminta membuat tugasan pembelian tujuh barangan lain yang melibatkan pindahan wang ke dalam akaun individu berbeza sebanyak RM173,888.74.
“Mangsa dijanjikan menerima komisen ke atas pembelian barangan tersebut pada Ahad, namun rasa ditipu setelah diminta membuat pembayaran untuk perlindungan diri sebanyak RM74,872.41 bagi menebus modal dan komisen dijanjikan tersebut,” katanya.
Sementara itu Aibee berkata, sebanyak 80 kertas siasatan berkaitan tawaran kerja sambilan tidak wujud dibuka dari Januari hingga Ahad yang melibatkan kerugian RM1,103,195.46.
Leave a Reply