Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
BEKAS pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa yang didapati bersalah di Mahkamah Amerika Syarikat (AS) berhubung skandal global 1Malaysia Development Berhad (1MDB) jelas membuktikan penyelewangan dilakukan pegawai dan pemimpin utama kerajaan Malaysia.
Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan tersebut melihatkan pihak terlibat tidak amanah dan tidak bertanggungjawab terhadap negara membabitkan dana yang cukup besar.
“Mahkamah di Amerika Syarikat hari ini telah menjatuhi hukuman bersalah ke atas bekas pegawai Goldman Sachs, Roger Ng, atas tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan skandal 1MDB.
“Peguam Negara Amerika Syarikat, Breon Peace dalam kenyataannya hari ini menyifatkan keputusan mahkamah tersebut sebagai suatu kejayaan kepada rakyat Malaysia.
“Bagaimana tidak amanahnya mereka menyeleweng berbilion ringgit wang 1MDB yang sepatutnya digunakan untuk membiayai pelaburan strategik dan melaksanakan projek pembangunan ekonomi negara,” katanya dalam satu kenyataan menerusi Facebook miliknya, malam ini.
Katanya, wang tersebut sebaliknya digunakan untuk memperkayakan diri sendiri dan kroni.
Beliau menentang perbuatan jenayah mereka sejak dari awal dan nekad akan terus berjuang menghalang kumpulan kleptokrat itu daripada kembali berkuasa.
“Saya percaya mahkamah di negara kita juga akan memberikan keadilan kepada seluruh rakyat Malaysia dalam kes 1MDB yang masih dalam prosiding. Perbicaraan kes ini mesti disegerakan agar keadilan segera dicapai,” katanya.
Leave a Reply