PROSES pemilihan PKR 2022 yang masuk hari kedua hari ini menyaksikan calon di peringkat cabang mengambil peluang cuti hujung minggu untuk ke pusat pencalonan fizikal bagi mendaftarkan diri mereka di aplikasi ADIL.

Tinjauan Bernama di beberapa pusat pencalonan negeri di seluruh negara, pusat pencalonan agak sibuk dengan calon yang hadir bersama pencadang dan penyokong untuk memohon bantuan pengawas pemilihan pusat, mendaftar dan melakukan verifikasi ke atas keanggotaan mereka.

Di NEGERI SEMBILAN, Pengerusi PKR negeri Datuk Seri Aminuddin Harun pada sidang media hari ini mengesahkan bertanding jawatan Ketua Cabang Port Dickson dalam pemilihan kali ini.

Beliau yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan akan menentang Timbalan Pengerusi negeri Datuk M Ravi yang semalam menyatakan hasrat mempertahankan jawatannya itu.

“Memang saya akui Pengerusi dan Timbalan Pengerusi bertembung di Port Dickson tetapi sebenarnya ini adalah demokrasi dan paling penting bagaimana selepas ini kita bersama untuk pastikan parti tidak rosak dan tidak terkesan akibat pemilihan,” kata Aminuddin.

Semalam, M Ravi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Tanjung mengesahkan mempertahankan jawatan Ketua Cabang Port Dickson dalam pemilihan kali ini.

Sementara itu, di MELAKA Ketua Penerangan, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin mengesahkan beliau tidak akan mempertahankan jawatan sebagai Ketua Cabang di Jasin sebaliknya akan bertanding di Cabang Hang Tuah Jaya.

“Setakat makluman yang saya terima cabang Hang Tuah Jaya juga setakat ini menerima sembilan pencalonan bagi jawatan Timbalan Ketua Cabang, Naib Ketua dan AJK (Ahli Jawatankuasa)….yang lain, kita masih tunggu,” katanya yang juga Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya melalui kiriman WhatsApp kepada Bernama.

Melalui tinjauan, proses pencalonan di negeri itu berjalan lancar di semua enam cabang iaitu Masjid Tanah, Alor Gajah, Tangga Batu, Kota Melaka, Hang Tuah Jaya dan Jasin.

Di JOHOR, Ahli Parlimen Johor Bahru Akmal Nasrullah Mohd Nasir ketika dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp mengesahkan akan mempertahankan jawatan ketua cabang di kawasan berkenaan.

Selain itu, bekas ADUN Semerah Mohd Khuzzan Abu Bakar juga mengesahkan akan bertanding jawatan Ketua Cabang Batu Pahat.

Sementara itu, Exco Wanita PKR Pusat, Napsiah Khamis Maharan turut mengesahkan akan bertanding di peringkat wanita pusat pada pemilihan PKR 2022.

Timbalan Ketua Cabang Iskandar Puteri, Choong Thong Yuen memaklumkan akan bertanding jawatan Ketua Cabang kawasan tersebut.

Di PULAU PINANG, Pengerusi negeri Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata beliau akan menawarkan  diri bertanding sebagai Ketua Cabang Balik Pulau yang disandangnya sejak 2018. 

Di TERENGGANU, Pengerusi PKR negeri Azan Ismail juga telah menghantar pencalonannya sebagai Ketua Cabang Kuala Terengganu, menurut Setiausaha PKR negeri Wan Bukhari Wan Muhammad.

Wan Bukhari berkata berdasarkan makluman awal, semua ketua lapan cabang sedia ada menyatakan hasrat untuk kekal bertanding dalam pemilihan kali ini namun senarai muktamad hanya akan diketahui apabila proses pencalonan ditutup esok.

Di PAHANG, Bendahari Agung Lee Chean Chung menawarkan diri bertanding sebagai Ketua Cabang Indera Mahkota pada pemilihan parti tahun ini, bagi mempertahankan jawatan yang disandangnya sejak 2012. 

Lee yang juga ADUN Semambu berkata beliau menghantar borang pencalonan secara dalam talian pada 12 tengah hari tadi, bersama-sama dengan beberapa calon yang turut bertanding pada pemilihan kali ini. 

Sementara itu, bekas Ahli Dewan Negara Bob Manolan Mohamad mengesahkan bahawa beliau akan bertanding merebut jawatan Ketua Cabang Bera buat kali pertama tahun ini, selepas hampir 15 tahun menjawat jawatan sebagai Timbalan Ketua Cabang di situ. 

Di KELANTAN, Pengerusi Majlis Pimpinan negeri, Datuk Seri Mohd Supardi Md Noor pula akan  mempertahankan jawatannya sebagai Ketua Cabang Tanah Merah.

Pencalonan bagi pemilihan PKR 2022 bermula semalam hingga esok, melibatkan jawatan di peringkat cabang di seluruh negara.- BERNAMA 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here