PERIKATAN Nasional (PN) masih memerlukan kepimpinan dan ketokohan pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam mengemudi parti itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr. Muhammad Faiz Na’aman berkata, kepimpinan PN dan Bersatu tiada isu untuk menggantikan Presiden Bersatu itu.

“Memang saya lihat, ada spekulasi daripada beberapa penganalisis politik yang cukup teruja konon-kononnya menyentuh soal kepimpinan Muhyiddin dalam PN, pada pandangan dan peringkat kami, ia tidak berbangkit sama sekali untuk menukar pimpinan.

“Tidak berbangkit sama sekali cadangan, persoalan apatah lagi debat di kalangan kami pemimpin Bersatu memerlukan kepimpinan Muhyiddin dalam parti Bersatu.

“Kerana kita tahu, reputasi PN walaupun kita akui kita kalah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, tapi kita lihat dari segi penerimaan rakyat terhadap PN, adalah jauh lebih baik berbanding parti-parti lain,” katanya ketika dihubungi SatuBerita.

Tambah beliau, aura ketokohan Muhyiddin dalam kalangan rakyat masih diterima dan dihormati, malah mereka tidak patut menunding jari hanya kerana kalah di dalam PRN Johor, kerana kekalahan itu merangkumi pelbagai faktor.

“Muhyiddin dengan kepimpinannya, aura ketokohannya masih boleh diterima dan dihormati oleh rakyat, cuma kita kalah dari segi nombor sahaja, kerana mereka yang keluar mengundi lebih kurang 50 peratus.

“Jadi, itu antara faktor yang kita kalah. Kita bermuhasabah diri, kerana bila kita kalah, kita tidak boleh menunding jari kepada satu individu sahaja. Ia merangkumi banyak faktor kenapa kita kalah,” ujarnya.

Terdahulu, penganalisis politik, Dr. Azmi Hassan menerusi laporan The Star, mendakwa Muhyiddin merupakan satu halangan dalam kejayaan Bersatu dan parti itu dilihat terdesak.

Menjawab persoalan Bersatu dilihat lemah dan terdesak dalam mencari rundingan kerjasama bersama-sama parti lain, Faiz Na’aman berkata, pelawaan untuk bertemu itu bukan hanya bertepuk sebelah tangan, tetapi ia merupakan pertemuan yang dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak.

“Mungkin sekarang ada pemimpin-pemimpin tertentu daripada parti-parti politik tertentu seolah-olah dia menolak pelawaan dan rundingan dari pihak Bersatu. 

“Muhyiddin berbincang, berunding, ataupun bertemu, kerana adanya jemputan ataupun adanya persetujuan kedua-dua belah pihak, bukan kita yang terhegeh-hegeh nak bertemu, kita juga tidak jual mahal, tidak sombong, tidak angkuh. 

“Cuma bila ada pelawaan daripada wakil-wakil parti yang tertentu maka kita menyahut pelawaan itu dan Muhyiddin ambil inisiatif dengan merendah diri untuk membuat pertemuan,” katanya.

Sebelum ini, Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengesahkan perjumpaan antara Muhyiddin dan Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr. Mahathir Mohamad bagi membincangkan kerjasama berdepan PRU-15.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here