SEORANG pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian seorang pelanggan restoran, dua minggu lepas.
Ejen Insurans K. Meena Sundram, 57, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Amanina Mohamad Anuar.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memandu kenderaan Honda HRV di bawah pengaruh alkohol sebanyak 116 miligram (mg) dalam 100 mililiter (ml) darah.
Ia melebihi 67mg alkohol daripada had yang ditetapkan iaitu 50mg alkohol dalam 100ml kandungan darah, yang tertuduh tidak berdaya mengawal kenderaan itu dan menyebabkan kematian Soh Cheng Keong @Soh Chin Kiew, 76, di Jalan Klang Lama menghala ke pusat bandar di sini pada 8.50 malam, 20 Mac lepas.
Lelaki itu dituduh mengikut Seksyen 44(1)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak melebihi 15 tahun serta denda tidak kurang RM30,000 dan tidak melebihi RM100,000 dan hilang kelayakan memandu untuk tempoh tidak kurang tujuh tahun dari tarikh disabitkan kesalahan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin dan lesennya digantung sementara menunggu pelupusan kes serta menetapkan 31 Mei untuk sebutan kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Nursyuhada Abd Rauf manakala tertuduh diwakili peguam P. Ari Krishnan.
Pada 21 Mac lepas, media melaporkan seorang lelaki dipercayai mabuk telah merempuh ruang makan di luar sebuah restoran hingga mengakibatkan lapan individu cedera di Jalan Klang Lama, di sini.
Lelaki itu yang memandu Honda HR-V dari arah Petaling Jaya menghala ke pusat bandar hilang kawalan ketika sampai di lokasi sebelum melanggar sebuah kenderaan jenis Lexus yang diparkir di bahu kiri jalan.
— BERNAMA
Leave a Reply