roger feng shui akta siasatan SPRM PAS 1MDB saman bon AS$3 bilion

Pakar feng shui beri Leissner amaran karma buruk 1MDB

ISTERI bekas pegawai bank Goldman Sachs yang dibicarakan berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memberitahu juri di mahkamah Amerika Syarikat bahawa seorang pakar feng shui memberi amaran kepada bos suaminya tentang ‘karma buruk’ – tilikan yang nampaknya menjadi kenyataan.

FMT yang memetik Bloomberg melaporkan, isteri Roger Ng, Lim Hwee Bin, memberi keterangan bagi pihak suaminya semalam pada perbicaraan Roger yang berdepan tuduhan konspirasi berkait penyelewengan dana 1MDB.

Hwee Bin memberitahu juri bahawa beliau dan suaminya mengatur bacaan fengshui dengan ‘Master Pang’ untuk bos Roger, Tim Leissner, pada 2015 dan 2016.

Leissner, yang mengaku bersalah dan kini bekerjasama dengan Amerika Syarikat dalam kes terhadap Roger, memberi keterangan bahawa pakar tersebut memberitahunya, seorang ‘perempuan’ akan ‘membantunya pada masa hadapan’.

Katanya, apabila dia bertemu dengan Hwee Bin dan Roger untuk membincangkan salah satu bacaan feng shui itu, ketiga-tiga mereka bersetuju untuk memberitahu pihak berkuasa ‘cerita rekaan’ bagi menjelaskan sogokan AS$35 juta untuk Roger.

Walau bagaimanapun, Hwee Bin semalam memberitahu panel persekutuan di Brooklyn, New York, bahawa wanita berkenaan adalah anak perempuan Leissner.

Pertemuan itu hanya untuk membincangkan bacaan feng shui, katanya.

Feng shui adalah amalan lazim dalam masyarakat Cina di Asia dan digunakan untuk membaca tanda-tanda dan aliran tenaga yang baik mahupun buruk.

Hwee Bin memberitahu juri, beliau dan suaminya menerima nasihat pakar feng shui tersebut setiap tahun menjelang Tahun Baharu dan setiap kali mereka mencari rumah atau pejabat baharu.

“Jangan undang karma buruk,” beritahu Pang kepada Leissner, menurut keterangan Hwee Bin.

“Sebarang perkara buruk yang akan terjadi akan datang dari mulut kamu sendiri.”


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *