POLIS meminta penunggang basikal yang dipukul menggunakan batang besi oleh seorang lelaki di persimpangan lampu isyarat di Jalan Seri Manjung-Segari, Manjung seperti dalam video yang tular di media sosial baru-baru ini, tampil membuat laporan untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah Manjung, ACP Nor Omar Sappi berkata, pihaknya telah memperoleh perintah untuk siasat (OTI) daripada timbalan pendakwa raya hari ini bagi meneruskan siasatan, namun ia tidak dapat dilengkapkan berikutan mangsa dipercayai lelaki warga asing itu, tidak dapat dikenal pasti sehingga kini.

“Suspek telah mengaku (ketika soal siasat) namun mangsa tidak tampil, jadi bagaimana kami hendak tahu kecederaan dialami dan sebagainya.

“Siasatan mungkin akan tertangguh, jadi kami minta mangsa supaya tampil membuat laporan polis,” katanya ketika dihubungi Bernama di Ipoh, hari ini.

Kredit: Twitter Dzulfadzli Mohamad

Beliau berkata, setakat ini polis telah menjalankan siasatan dengan memanggil suspek berusia 34 tahun itu, selain mengambil keterangan saksi kejadian termasuk rakannya yang merupakan pemilik kereta yang digunakan ketika kejadian.

Katanya, orang awam di tempat kejadian yang menyaksikan insiden itu, turut diminta memberi keterangan kepada pihak polis bagi membantu siasatan termasuk bagi mengenal pasti identiti mangsa.

Pada Selasa lepas, polis merekodkan keterangan suspek di Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung dan mendapati punca kejadian adalah salah faham antara kedua-duanya hingga suspek bertindak memukul mangsa kerana mendakwa mangsa telah memaki hamun serta mencabarnya.

Tular di media sosial rakaman video memaparkan seorang lelaki menaiki kereta Proton Wira berwarna biru memberhentikan kenderaannya lalu memukul seorang lelaki yang sedang menunggang basikal di persimpangan lampu isyarat berhampiran pasar raya AEON Mall Seri Manjung. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here