PADAH membuat laporan polis palsu konon disamun dan dirogol sekumpulan lelaki Afrika, seorang penuntut kolej swasta warga Jepun didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini.
Majistret Muhammad Iskandar Zainol menjatuhkan hukuman itu terhadap Ageha Matsuzaki, 20, selepas wanita itu mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan dan tertuduh diperintahkan dipenjara dua bulan jika gagal membayar denda.
Matsuzaki membayar denda itu, lapor Bernama.
Dia didakwa memberikan maklumat secara bertulis kepada seorang polis yang tertuduh mengetahui ia adalah palsu sehingga menyebabkan pegawai penyiasat polis melakukan siasatan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Balai Polis Seri Kembangan, pada 12.30 tengah hari 2 Feb lalu, mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.
Peguam Mustaqeem Aziz yang mewakili Matsuzaki memohon hukuman ringan atas alasan pengakuan salah tertuduh menjimatkan masa mahkamah dan kesalahan dilakukan memberi pengajaran kepada anak guamnya.
Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Wafi Husain memohon hukuman setimpal kerana perbuatan tertuduh menyusahkan banyak pihak terutama polis dan dia hanya mengaku membuat laporan palsu selepas dua minggu pegawai penyiasat melakukan siasatan.
Berdasarkan fakta kes, dalam laporan polis dibuatnya, wanita itu menyatakan ketika berjalan di depan sebuah apartmen pada 8 malam 1 Feb lalu, tiba-tiba datang sebuah kereta dari arah belakang dan berhenti di tepinya.
Laporan polis itu menyebut seramai lima atau enam lelaki warga Afrika turun dari kereta dan memaksa wanita berkenaan mengikut mereka dan salah seorang daripada lelaki itu mengacukan pisau sebelum wanita itu dipukul serta dirogol oleh empat atau lima lelaki secara bergilir-gilir manakala kad kredit (Japanese Visa) dan wang RM100 turut diambil.
Bagaimanapun, selepas siasatan dilakukan wanita itu mengaku memberikan laporan palsu dan tiada sebarang bukti atau kejadian rogol seperti dinyatakan.
Leave a Reply