MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berasa gembira apabila majlis pemeteraian perjanjian persefahaman (MoU) antara kerajaan negeri itu dengan Beijing Urban Construction Group (BUCG) berhubung projek mega berkaitan pembinaan jalan utama dan terowong dasar laut di negeri itu yang bernilai RM6.34 bilion, disaksikan oleh Perdana Menteri Malaysia dan China.

Pengarah Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group (CZBUCG), Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli, 62, berkata beliau telah menerima panggilan telefon sekitar 2011 daripada Lim memaklumkan bahawa Wen Jiabao, yang ketika itu Perdana Menteri China dan Datuk Seri Najib Tun Razak, ketika itu Perdana Menteri Malaysia akan menghadiri majlis menandatangani MoU yang diadakan di Putrajaya pada 28 April 2011, yang turut dihadiri Lim.

CZBUCG merupakan syarikat usaha sama dengan BUCG yang telah dilantik bagi menjalankan projek tersebut.

Kepada soalan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin apakah reaksi Lim apabila MoU tersebut dapat ditandatangani di hadapan kedua-dua perdana menteri itu, Zarul Ahmad yang merupakan saksi utama pendakwaan menjawab, “YB Lim berasa gembira”.

Wan Shaharuddin: Apa perkataan sebenar YB Lim kata? Dan saksi itu menjawab, “YB Lim menyatakan banyak ‘mata merah’ sebab MoU itu dapat ditandatangani.”

Disoal Wan Shaharuddin apa yang difahami dengan ‘mata merah’ dan ia ditujukan kepada siapa, saksi pendakwaan ke-23 itu berkata, ‘marah atau iri hati’ dan saya rasa ia ditujukan kepada MCA.

Menurut Zarul Ahmad, beliau telah berhubung dengan Wisma Putra dan meminta supaya majlis tandatangan MoU itu dapat disaksikan oleh perdana menteri dari Malaysia dan China.

Saksi itu berkata demikian pada perbicaraan kes rasuah Lim yang berdepan empat pertuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di Pulau Pinang.

Terdahulu, Zarul Ahmad ketika membacakan pernyataan saksinya berkata beliau berasa terharu dan bersyukur kerana syarikatnya (CZBUCG) dianugerahkan projek mega bernilai RM6.34 bilion.

“Projek ini dianugerahkan kepada CZBUCG melalui proses tender Request For Proposal (RFP) dan ia dianugerahkan pada 6 Feb 2013. Saya cukup terharu kerana dianugerahkan projek itu, namun perasaan tersebut hanya untuk sehari sahaja kerana saya telah diasak dan menerima kecaman parti BN kerana Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah menganugerahkan kepada Syarikat Dua Ringgit (RM2).

“Syarikat ‘Special Purpose Vehicle’ (SPV) (syarikat bertujuan khas) lazimnya tidak akan mempunyai ‘paid capital’ lebih daripada RM2 selagi ia tidak dianugerahkan dengan mana-mana projek. Sekiranya projek itu tidak dianugerahkan kepada syarikat itu, maka syarikat SPV senang untuk ditutup. Projek ini dianugerahkan oleh Kerajaan Pulau Pinang yang Ketua Menteri ketika itu adalah YB Lim,” katanya.

Lim berhadapan pertuduhan pindaan menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta, dalam membantu syarikat milik Zarul Ahmad mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702, di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, George Town antara Januari 2011 hingga Ogos 2017.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Lim didakwa meminta suapan daripada Zarul Ahmad sebanyak 10 peratus daripada keuntungan diperoleh syarikat itu, sebagai penghargaan mendapatkan projek itu dan dituduh melakukan perbuatan berhampiran The Garden Hotels, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, di sini pada Mac 2011.

Lim turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat, yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut itu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang, Tingkat 21, Komtar pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung 1 April ini.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here