RAMAI perwakilan yang menghadiri Perhimpunan Agung UMNO 2021 yang bertepuk tangan semalam apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan gaji minimum dinaikkan kepada RM1,500 sebulan mulai 1 April ini.
Namun, ramai juga rakyat biasa di luar Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur yang mengeluh dalam masa beberapa jam selepas pengumuman tersebut.
Mereka menyuarakan kebimbangan tentang kemungkinan berlaku kenaikan harga barang apabila majikan terpaksa membayar gaji yang lebih tinggi kepada pekerja.
Pada masa ini, rakyat berasa amat terbeban dengan kenaikan harga barang yang berlaku akibat krisis pandemik COVID-19 dan kadar tukaran ringgit yang rendah.
Walaupun kerajaan telah menguatkuasakan skim kawalan harga barang terutamanya pada musim perayaan, langkah itu hanya bersifat sementara dan tidak banyak membantu.
Selepas habis tempoh, harga barang naik semula. Sekali harga naik, memang liat hendak turun.
Lagipun, bukan semua barang yang dimasukkan dalam skim kawalan harga barang. Banyak barang bukan makanan asas dan perkhidmatan yang harganya melambung jika dibandingkan dengan harga beberapa tahun lalu.
Misalnya, dahulu caj gunting rambut untuk seorang kanak-kanak di kawasan luar bandar hanya RM5 sahaja. Kini, sudah melonjak jadi RM10, kenaikan 100 peratus.
Begitu juga dengan kos perkhidmatan lain seperti servis dan membaiki kenderaan, harga makanan siap dimasak dan peralatan komputer serta telefon pintar.
Kenaikan gaji minimum yang diumumkan Ismail Sabri itu juga tidak bersifat meluas kerana pekerja yang pada masa ini menerima gaji melebihi RM1,500 sebulan tidak akan menikmati sebarang peningkatan dari segi pendapatan.
Maknanya, gaji mereka masih kekal pada takuk lama sedangkan kuasa beli semakin menyusut ekoran peningkatan harga barang atau inflasi.
Langkah yang paling berkesan bagi membantu rakyat adalah dengan mengawal harga barang dan caj perkhidmatan.
Jika peningkatan harga barang dan caj perkhidmatan naik mendadak, kenaikan gaji minimum tidak memberi sebarang manfaat.
Kerajaan khususnya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mesti bersikap proaktif dalam menangani isu kenaikan harga barangan.
Janganlah tunggu sehingga rakyat bising baru hendak bertindak. Tindakan yang diambil pun macam tak beri kesan sebab harga barang masih terus melambung dan rakyat marhaen semakin terbeban.
Leave a Reply