PENGARAH Touch Group Holdings Sdn Bhd Tengku Datuk Muhamad Mazlan Tengku Putera Zainal Abidin mendahului senarai 95 penerima darjah kebesaran dan pingat Pahang sesi kedua sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-62 Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah berkenan menyempurnakan istiadat penganugerahan itu di Istana Abu Bakar di Pekan hari ini. 

Hadir sama Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. 

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah berkenan mencemar duli berangkat ke majlis santapan yang berlangsung selepas tamat istiadat pengurniaan tersebut.

Tengku Muhamad Mazlan merupakan antara empat penerima darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri selain Pengarah Syarikat Loverra Sdn Bhd Datuk Syed Fauzi Syed Ahmad, Pengarah Jabatan Integriti Bukit Aman Datuk Azri Ahmad dan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Hazani Ghazali. 

Tiga individu dianugerahkan darjah Sri Indera Mahkota Pahang (SIMP) yang membawa gelaran Datuk Indera iaitu bekas Pengarah Kesihatan Pahang Datuk Dr Bahari Che Awang Ngah, Pengerusi Pusat Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Datuk Dr Abdul Razak Ahmad dan Pengarah IJM Corporation Berhad Datuk Zohari Sulaiman.

Sementara itu, 11 lagi menerima darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP) yang membawa gelaran Datuk iaitu Pengarah Urusan Tijaz Corporation Sdn Bhd Tengku Aslahuddin Ja’afar Tengku Azlan, Pengarah Urusan SMGB Group Sdn Bhd Tengku A’zran Abdul Jawaad Tengku Azlan, Kerabat Pahang Tengku Amir Putra Tengku Kamal Bharin, Ketua Pegawai Eksekutif HIS Holdings Sdn Bhd Tengku Aiman Putra Tengku Kamal Bharin dan Pengarah Bersekutu Global Banking Maybank Investment Khairul Fahmy Ab Jabar.

Turut menerima DSAP ialah Pensyarah Kuliyah Seni Bina dan Rekabentuk Alam Sekitar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Prof Datuk Dr Alias Abdullah, Setiausaha Polis Diraja Malaysia DCP Ruslan Khalid, Naib Canselor Universiti Putra Malaysia Prof Dr Mohd Roslan Sulaiman, Pengarah Bahagian Pembangunan Modal Insan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Dr Zainal Abidin Sait, Pengarah Kanan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Amran Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif Agri Asia Sdn Bhd Jamil Haron.

Sultan Pahang juga berkenan mengurniakan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang turut membawa gelaran Datuk kepada 18 penerima iaitu Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia Dr Fadhullah Suhaimi Abdul Malek, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Jabatan Kehakiman Syariah Pahang Muhammad Azhari Abd Rahman dan bekas Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Pahang Mohd Noor Bidin.

Turut dianugerahkan DIMP, Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Investment Banking Group Datin Hamidah Moris, Timbalan Komander Markas Integrated Area Defence System Pangkalan Udara Butterworth Brig Jen Datuk Tong Veng Leong, Komander Briged Tenggara PGA Ibu Pejabat Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am Kem Bukit Galing Kuantan SAC Hasan Basri Ahmad Safar dan Komander 69 Komando Pasukan Gerakan Khas Ulu Kinta SAC Abdul Razak Mohd Yusoff.

Selain itu, Pengarah Eksekutif KLCC Urusharta Sdn Bhd Izwan Hasli Mohd Ibrahim, Ketua Pegawai Eksekutif Aked Selasih Corporation Sdn Bhd Zulkifli Mohd Yusof, Pengarah Eksekutif Northern Corridor Sports Promotions Jasni Shafie, Pengerusi Lembaga Pelawat Rumah Kanak-Kanak Tengku Ampuan Fatimah K. Munusamy dan Presiden Dewan Perniagaan Malaysia Global Buani Atiqi Abdul Rahman turut dianugerahkan DIMP.

Penerima DIMP lain ialah Pengarah Kreatif Kamasutra Living Shahrum Shamsuddin, Pengarah Urusan Ikhtiar Factoring Sdn Bhd Noor Roslizam Alias, Pengarah Urusan Redha Holdings Sdn Bhd Rosmadi Zin, Pengarah Urusan M&D World of Cars Sdn Bhd Freddy Numan Lawan @ Akas Lawan dan Setiausaha UMNO Bahagian Temerloh Razmi Sudin.

Pada istiadat itu, Sultan Pahang juga berkenan mengurniakan darjah Setia Ahmad Shah Pahang (SAP) kepada empat penerima, darjah Setia Mahkota Pahang (SMP) kepada enam penerima, darjah Ahli Ahmad Shah Pahang (AAP) kepada lima penerima, darjah Ahli Mahkota Pahang (AMP) kepada 17 penerima, manakala sembilan penerima masing-masing bagi Pingat Khidmat Cemerlang (PKC), Pingat Kelakuan Terpuji (PKT) dan Pingat Jasa Kebaktian (PJK).

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here