lori motosikal

Pemandu lori rempuh 9 motosikal direman tiga hari

Oleh RIZQI ZABIDI

Seorang pemandu lori direman selama tiga hari bagi membantu siasatan berhubung kemalangan yang melibatkan sebuah lori dan sembilan motosikal yang mengakibatkan dua kematian di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS), dekat Gurun, Kedah, semalam.

Perintah reman tersebut dikeluarkan oleh Majistret, Nurul Ainna Ahmad terhadap suspek yang berusia 28 tahun itu di Mahkamah Majistret Sungai Petani, hari ini.

Individu berkenaan yang memakai pakaian serba hitam tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Sungai Petani pada pukul 10.10 pagi tadi dengan diiringi beberapa anggota polis dan tangan bergari.

Difahamkan, kejadian itu berlaku ketika dia bersama kelindannya sedang dalam perjalanan ke Pulau Pinang bagi menghantar set sofa kepada pelanggan.

Mereka dipercayai datang dari Kelantan dan terlebih dahulu pergi ke Kuala Nerang, Kedah sebelum bertolak ke destinasi terakhir iaitu di Pulau Pinang.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 2.40 petang semalam, dua penunggang motosikal iaitu Mohd Amirul Ismail, 28, dan Muhammad Khairul Azwan Maula Hashim, 31 maut di Kilometer 92.8 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) apabila mereka yang sedang berlindung dari hujan lebat di bawah jambatan, dirempuh dari belakang oleh lori yang dipandu individu berkenaan.

Selain kedua-dua mangsa itu, seramai tujuh lagi penunggang motosikal yang berlindung di bawah jambatan di lokasi yang sama turut cedera.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *