MASA UMNO rebah dulu pada PRU14 dan perlukan sokongan PAS untuk bangkit semula, Tok Chey nampak Tok Mat Hasan sebagai orang yang paling layak nak ganti Zahid Hamidi sebab semua orang tahu yang Presiden UMNO itu memang dah tak layak nak terajui parti kerana terpalit dengan kes rasuah.
Orang yang lama berjuang dalam UMNO pun bercakap benda yang sama kerana nampak karisma dalam diri Tok Mat antaranya tidak terlibat dengan isu integriti dan setiap bait bicaranya penuh makna serta mempunyai kiasan yang mendalam.
Tok Mat juga disenangi oleh sebahagian penyokong UMNO yang mahukan parti itu bersih daripada isu rasuah kerana antara punca jatuhnya kerajaan pada PRU14 adalah disebabkan skandal 1MDB, SRC dan salah guna kuasa.
Tapi kebelakangan ni Tok Chey perasan Tok Mat dah jadi macam ‘jurucakap’ Zahid Hamidi dan Najib Razak yang secara jelas agenda mereka mahu PRU15 dibuat dengan segera.
Dengan menggunakan alasan mahukan kestabilan politik, Tok Mat seringkali meratib mahu PRU diadakan sedangkan ketika ini banyak lagi isu yang perlu diberi perhatian berbanding isu politik.
Tanyalah setiap seorang daripada rakyat bawahan, keutamaan mereka ketika ini bukanlah hidup untuk memikirkan parti mana yang layak memerintah, tetapi mereka mahu berjuang untuk meneruskan kehidupan dalam keadaan yang mencabar.
Golongan yang tinggal di bandar misalnya, berhadapan dengan peningkatan kos sara hidup yang amat ketara apabila kebanyakan barang keperluan mengalami kenaikan disebabkan masalah bekalan dan impak Covid. Itu tidak termasuk golongan yang hilang sumber pendapatan, pemotongan gaji, ditimpa musibah dan macam-macam lagi dugaan.
Belum reda dengan keadaan dalam negara, timbul pula konflik dunia yang memberi kesan secara tidak langsung kepada ekonomi lokal.Dalam krisis perang Ukraine-Rusia contohnya, walaupun negara kita mendapat manfaat daripada kenaikan harga minyak mentah yang menyebabkan hasil Malaysia meningkat, harus diingat kesan terhadap rantaian harga makanan juga pasti akan berlaku.
Ini kerana, apabila harga minyak meningkat ia akan menyebabkan kos operasi meningkat dan pengeluar yang tidak mahu menanggung kerugian akan memindahkan kos tersebut kepada pengguna. Pengguna akhir iaitu rakyat bawahan akan terus menanggung kenaikan harga barang.
Siri kenaikan harga barang yang sedang dihadapi ketika ini pun masih belum diserap sepenuhnya, bagaimana rakyat mahu mengharungi kenaikan lain yang pasti amat membebankan. Pergilah ke kedai dengan membawa RM50, berapa banyak barang yang dapat dibeli dengan nilai tersebut.
Itu belum dikira penduduk yang terjejas akibat masalah banjir hingga menyebabkan mereka kerugian harta benda dan kehilangan nyawa.
Jika nak dihuraikan, banyak sebenarnya masalah rakyat yang perlu diberi perhatian daripada sibuk nak mendesak PRU diadakan yang diketahui melibatkan kos yang besar menggunakan duit rakyat.
Sepatutnya Tok Mat tidak perlu sangat dilihat seperti ‘mengikut telunjuk’ Zahid Hamidi dan Najib Razak untuk mengadakan PRU15 kerana kerajaan ketika ini pun sememangnya sudah diterajui oleh Naib Presiden UMNO. Jawatan menteri kanan yang memegang portfolio penting pun daripada pimpinan UMNO juga.
Adalah lebih baik peluang diberikan kepada Ismail Sabri dan pemimpin UMNO lain dalam kerajaan untuk fokus kepada usaha untuk membantu rakyat menghadapi cabaran meneruskan hidup dalam suasana yang belum pernah dihadapi sebelum ini.
Tok Mat selaku pemimpin senior dalam UMNO perlu lebih rasional dan jangan sampai dituduh menjadi alat ‘kluster mahkamah’ yang mahukan PRU15 diadakan demi kepuasan nafsu politik mereka.
Rakyat bawahan secara jelas melihat desakan untuk mengadakan PRU bukan nak bela rakyat sebenarnya tetapi nak mengangkat kembali ‘kluster mahkamah’ menerajui pimpinan negara.
*Penulis adalah penganalisis politik dan ekonomi. Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian WartaRakyat.
Leave a Reply