peniaga juta kerani wanita TM suri rumah pelajar

Lebih RM140,000 lesap dikebas sindiket menyamar pegawai TM

WANG simpanan seorang ahli perniagaan serta milik ibunya berjumlah RM140,679 lesap akibat terperangkap dengan sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai Telekom Malaysia Berhad (TM).

Mangsa terjerat dengan sindiket berkenaan yang kononnya untuk siasatan pembabitannya dalam kes pelaburan dan pengubahan wang haram.

Mematik laporan Berita Harian, Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat memberitahu, pada 11 Februari lalu, mangsa seorang lelaki yang berusia sekitar 20-an menerima panggilan telefon daripada suspek yang menyamar sebagai pegawai TM Point mendakwa identitinya sudah digunakan untuk mendaftar talian yang terbabit dalam kes jenayah siber.

Menurutnya, panggilan telefon itu kemudian disambungkan kepada dua suspek berikutnya yang menyamar sebagai pegawai polis berpangkat Sarjan dan Inspektor.

Katanya, hasil semakan lanjut ‘pihak polis’ terhadap identiti mangsa mendapati lelaki itu turut terbabit dengan kes pengubahan wang haram bersama satu sindiket pelaburan diketuai seorang individu yang mana mangsa dikatakan sudah memindahkan wang sebanyak RM400,000 ke akaun bank milik individu berkenaan.

Beliau berkata, mangsa cuba menafikan pembabitannya, namun dinasihatkan sipaya meminta bantuan suspek berikutnya bernama ‘ACP Datuk Mohd Fazley’ yang berjanji akan membantunya.

Menerusi satu kenyataaannya hari ini Shafien berkata, bagi membantu siasatan ‘pihak polis’, mangsa diarah menyerah maklumat perbankan internet iaitu nama pengguna dan kata laluan serta nombor kad pengeluaran wang automatik (ATM) dan nombor Kod Pengesahan Transaksi (TAC) akaun bank miliknya.

Menurut beliau, mangsa juga diarah menyerahkan maklumat membabitkan akaun bank milik ibunya atas alasan untuk siasatan bagi mengesahkan sama ada ibunya turut terbabit atau tidak dengan kes pelaburan berkenaan serta pengubahan wang haram.

Susulan itu, katanya sebanyak 15 transaksi pindahan wang berjumlah RM140,679 dilakukan dari bank milik pengadu dan ibunya yang mana hampir RM100,000 adalah dari akaun bank milik ibunya antara 11 hingga 15 Februari lalu.

“Suspek mendakwa wang itu dipindahkan sementara ke Bank Negara Malaysia bagi tujuan siasatan dan akan dikembalikan.

“Pengadu kemudian berasa curiga apabila suspek menasihatkannya membuat pinjaman bank untuk membesarkan perniagaan sebelum segera ke balai polis di Machang untuk membuat laporan,” jelas beliau.

Ujarnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK) yang jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dipenjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun dan dengan sebatan serta boleh juga dikenakan denda.

Shafien berkata, pihaknya ingin mengingatkan kepada semua lapisan masyarakat supaya lebih berwaspada dengan sindiket Macau Scam yang sentiasa menukar watak antaranya menyamar pegawai dari bank, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan mahkamah.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *