kuari

Operator kuari degil operasi secara haram terima padah

JABATAN Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang mengeluarkan notis arahan menghentikan semua aktiviti dan subaktiviti di tapak kuari kepada sebuah syarikat di Persiaran Kelicap, Bayan Lepas serta-merta hari ini.

Tindakan tegas terhadap pemaju perumahan dan operator kuarinya yang terletak di dalam tapak sama itu berikutan JAS Pulau Pinang mendapati aktiviti-aktiviti berkaitan pengkuarian masih berjalan meskipun selepas tempoh sah kelulusan penilaian impak alam sekitar (EIA) untuk aktiviti pengkuarian tamat pada 7 Disember tahun lalu dan tidak diperbaharui.

Menurut Pengarah JAS Pulau Pinang, Sharifah Zakiah Syed Sahab, tapak itu sebelum ini pernah menerima beberapa notis arahan dan notis berhenti kerja sepanjang operasi atas isu-isu kacau ganggu yang sama.

Pemaju menerusi kontraktornya mengemukakan permohonan untuk menjalankan pengkuarian di tapak itu dan diluluskan pada 31 Oktober 2013 mengambil kira jarak perumahan yang berada jauh pada masa tersebut.

Tempoh pengkuarian yang dibenarkan adalah selama tiga tahun dan tamat pada 31 Oktober 2016.

“Bagaimanapun, pemaju masih memohon pelanjutan tempoh pengkuarian dan diluluskan sebanyak tiga kali iaitu pada 2016, 2018 dan terakhir tamat pada  7 Disember 2021.

“Permohonan pelanjutan kuari itu tidak dapat dipertimbangkan lagi oleh JAS ekoran zon penampan terkini yang tidak mencukupi sehingga mencetuskan puluhan aduan berterusan yang diterima daripada penduduk setempat berkaitan isu gegaran,  bunyi bising, habuk, runtuhan dan batu terbang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun menurut Sharifah Zakiah, selepas tempoh operasi kuari tidak dilanjutkan, JAS negeri masih menerima aduan penduduk terdekat bahawa kuari masih beroperasi dan menimbulkan kacau ganggu.

Jelas beliau, intipan menggunakan dron dan siasatan pasukan penguat kuasa JAS Pulau Pinang pada 14 Februari lalu mendapati premis masih menjalankan aktiviti pemecahan batu  (crushing)  dan menggunakan ‘water cannon’ yang menghasilkan bunyi bising serta menimbulkan kacau ganggu kepada penduduk berdekatan.

Tapak kuari yang dikenakan tindakan oleh JAS Pulau Pinang.

Jelas beliau, pemaju dan kontraktor kuarinya kemudian dipanggil dan dinasihatkan untuk mematuhi arahan JAS Pulau Pinang untuk tidak menjalankan aktiviti kuari selepas tempoh kelulusan laporan EIA Kuari yang telah tamat.

“Bagaimanapun semalam, JAS masih menerima dan siasatan mendapati premis itu masih menjalankan aktiviti-aktiviti di tapak yang menmbulkan kacau ganggu bunyi bising kepada penduduk perumahan berdekatan,” katanya.

Menurut beliau, walaupun tapak itu masih mempunyai permit dan kelulusan kerja tanah yang dikeluarkan agensi lain,  namun oleh kerana tapak tersebut tertakluk kepada kelulusan EIA, maka tiada aktiviti boleh dijalankan selepas tempoh kelulusan pengkuarian di bawah Perintah EIA tamat dan tidak dilanjutkan.

Selain itu kata beliau, pihaknya kini juga dalam proses menyediakan kertas siasatan bagi membawa pemaju serta kontraktor ke mahkamah atas kesalahan-kesalahan dibawah Seksyen 34 A; Seksyen 31 dan 38  Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“JAS Pulau Pinang memandang serius kegagalan mana-mana pemaju untuk mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak kami. 

“Setiap pembangunan yang dijalankan mestilah memgikut peruntukan undang-undang dan mengambilkira juga kebajikan pihak lain yang berkepentingan khususnya orang awam,” ujarnya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *