SATU perkara yang diuar-uarkan dan dicanang dengan gempak gempita ialah hanya Barisan Nasional (BN) yang boleh membawa kestabilan dan kemakmuran berikutan itu wujudlah slogan ‘Kestabilan Demi Kemakmuran’ ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November lalu.
Kini slogan itu terus dilaungkan di PRN Johor yang akan diadakan pada 12 Mac ini dan atas nama kestabilan jugalah BN/UMNO tanpa berunding dengan sekutu yang sama-sama membentuk kerajaan negeri membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Dikatakan UMNO begitu yakin jika parti itu bergerak secara solo mereka akan mampu mencapai majoriti dua pertiga, oleh itu mereka tidak menjalin persefahaman atau kerjasama dengan mana-mana parti lain termasuklah Pas.
Itu keputusan mereka. Tetapi soalnya adakah hanya BN/UMNO mampu membawa kestabilan? Apakah hanya BN/UMNO mampu membawa kemakmuran? Adakah Perikatan Nasional (PN) yang merupakan sekutu mereka di peringkat Kerajaan Pusat tidak berupaya melakukan perkara yang sama?
Kalau BN/UMNO menyeru Bangsa Johor menyokong dengan hujah kestabilan dan kemakmuran, PN pula jika diberikan peluang memerintah negeri itu pasti mampu mewujudkan kestabilan untuk Johor dan kemakmuran untuk Bangsa Johor dengan pentadbiran yang penuh integriti.
Sudah pasti bagi mencapai misi mereka, pemimpin-pemimpin BN/UMNO akan terus menyebarkan dakyah bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin gagal sebagai Perdana Menteri ketika Kerajaan Perikatan Nasional memimpin negara selama 18 bulan.
Tetapi soalnya, siapa dalam Kerajaan PN itu? Benarkah Muhyiddin gagal menangani pandemik Covid-19? Bukankah dalam Kerajaan PN itu ada anggota Kabinet daripada UMNO? Dan empat daripada mereka menjadi barisan depan menangani wabak yang kali pertama berlaku dalam sejarah negara?
Kalaulah Muhyiddin dianggap gagal maka keseluruhan Kabinet dianggap gagal, tak kan hanya Muhyiddin sebagai Perdana Menteri sahaja bertanggungjawab?
Sebenarnya ia bukan soal gagal tetapi ia digagalkan oleh sekelompok pemimpin UMNO yang tidak berada dalam kerajaan tetapi mahu ‘membalas dendam’ selepas kehilangan kuasa dan jawatan dalam PRU-14. Ketika pemimpin-pemimpin UMNO lain bersedia secara terbuka menerima kerjasama dalam Kerajaan PN tetapi ada pemimpin UMNO yang duduk tidak diam.
Setiap hari mereka mengkritik apa sahaja dilakukan oleh Kerajaan PN, mereka menjalankan kerja-kerja pembangkang dan menjadi ‘makhluk perosak’ walaupun parti mereka adalah sebahagian kerajaan?
Kenapa itu berlaku? Ia terjadi kerana selepas tertubuhnya Kerajaan Pakatan Harapan selama 22 bulan, pembentukan Kerajaan PN adalah kali kedua menyaksikan pemimpin daripada parti berbeza dan pernah bermusuhan bekerjasama.
Ia membuktikan pembentukan kerajaan itu tidak akan ke mana selagi ada pemimpin yang bertindak bagai ‘duri dalam daging’ dan ‘gunting dalam lipatan’. Tetapi bagaimana kalau PN memerintah secara solo seperti mana BN bercita-cita mahu melakukannya di Johor?
Penulis yakin jika PN diberi peluang memerintah negeri itu tanpa parti yang di dalamnya ada watak ‘musuh dalam selimut’ , PN akan memerintah jauh lebih baik daripada BN. Jadi hujah yang mengatakan hanya BN/UMNO sahaja boleh membawa kestabilan hanya ‘mitos’.
Mana-mana parti pun yang ada majoriti besar akan mampu memerintah dengan stabil apatah lagi jika di dalam parti itu tidak ada apa-apa masalah dan tidak ada pemimpin yang terpalit dengan masalah integriti sehingga tersebar seantero dunia.
Tambahan pula, PN sudah membuktikan keupayaan menguruskan kerajaan yang prihatin kepada kebajikan rakyat dengan melancarkan pelbagai pakej rangsangan ekonomi, cumanya segala kebaikan itu sudah ‘ditutupi’ propaganda segelintir pemimpin UMNO sehingga Kerajaan PN dianggap gagal.
Perkara yang tidak betul, kalau diulang berkali-kali akhirnya dianggap betul, akhirnya ‘yang batil dianggap benar, yang benar dianggap batil’. Justeru adakah wajar rakyat khususnya Bangsa Johor yang akan memilih kerajaan baru pada 12 Mac ini akan terus termakan hasutan itu.
Jangan lupa, PN sudah membuktikan semangat setiakawan apabila bersedia bersama dalam Kerajaan Perak dan Kerajaan Johor. Begitu juga di peringkat pusat, apabila sehingga kini terus menyokong Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menguruskan negara.
Bukankah sikap itu telah membawa kestabilan kepada negara? Bukankah di Perak masih aman sehinggakan Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad menegaskan, negeri itu tidak perlu buat PRN kerana sekutu dan pembangkang terus memberi sokongan kepada pentadbiran kerajaan negeri.
Di Peringkat Pusat pula Ismail Sabri sendiri menegaskan, beliau menjadi Perdana Menteri daripada UMNO dan mendapat sokongan dari rakan-rakan parti-parti lain. Siapa parti-parti lain? Bukankah di dalamnya ada komponen PN khususnya Bersatu?
Oleh itu, sambutan hangat yang diterima oleh PN ketika Majlis Pelancaran Perikatan Nasional Johor, kelmarin yang dihadiri oleh lebih 5,000 membuktikan gabungan itu boleh melakukan kejutan dan berhak diberikan peluang sama seperti BN untuk mewujudkan kestabilan di negeri tersebut.
Kehadiran itu membuktikan kenyataan pemimpin UMNO bahawa PN tidak mendapat sambutan rakyat Johor dan Bersatu akan dikuburkan di negeri itu hanya satu perang psikologi dangkal.
Justeru jika PN berjaya di Johor, ‘makhluk perosak’ itu pasti sudah tiada, maka gabungan tersebut akan menerajui penuh ketenangan bagi mewujudkan kestabilan, merancang dengan baik demi kemakmuran negeri dan mentadbir penuh integriti demi kesejahteraan Bangsa Johor.
Leave a Reply