SEJAK tiga hari lalu beberapa kawasan di bumi Terengganu kembali dilitupi mendung, cahaya di langit agak suram dan kelabu disamping keadaan laut pula beralun serta berombak diikuti dengan tiupan angin kencang.
Sesekali ia disusuli pula dengan hujan lebat mencurah selama beberapa jam terutama sewaktu menjelang awal pagi sebelum berhenti sekejap, lalu kemudiannya kembali membasahi bumi sehingga ke petang.
Perkembangan ini menyebabkan beberapa lokasi tertentu di negeri ini kembali digenangi air, sekali gus turut menjejaskan aktiviti harian penduduk khususnya bagi mereka yang mencari rezeki di laut.
Namun, bagi kebanyakan nelayan keadaan ini bukan perkara luar biasa memandangkan sebahagian besar daripada mereka masih ‘berpantang’ dengan ‘berkurung’ di daratan kerana musim tengkujuh sepanjang Monsun Timur Laut ini belum lagi berakhir.
Episod ‘buka kuala’ belum lagi bermula dan bot-bot serta perahu nelayan masih berlambak tersadai dan dilabuhkan di muara.
Bagaimanapun, melihat kepada keadaan cuaca tidak menentu ini, apakah Terengganu bakal dilanda banjir gelombang ketiga pada Mac ini?
Bagi penulis, ia tidak mustahil sekiranya berlaku taburan hujan lebat berterusan sehinggga Mac depan.
Sepertimana kenyataan dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) akhir Oktober tahun lalu yang meramalkan hujan lebat dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor mulai November hingga awal Januari 2022, susulan peralihan Monsun Timur Laut yang dijangka bermula 3 November dan berterusan sehingga Mac tahun depan (2022).
Menurut jabatan tersebut, hujan lebat juga dijangka lebih tertumpu di Sarawak serta Sabah pada awal Januari dan Februari 2022.
Malah, MetMalaysia turut memaklumkan risiko kejadian banjir boleh menjadi lebih buruk sekiranya hujan lebat berlaku serentak dengan kejadian air pasang besar dan luruan ribut.
Berdasarkan kenyataan tersebut, penulis percaya banjir gelombang ketiga atau keempat boleh berlaku pada bila-bila masa termasuk bulan Mac.
Ketika penulis zaman kanak-kanak dahulu kekerapan berlaku banjir adalah antara akhir November hingga Januari di mana banjir terakhir berlaku setiap tahun ketika pembukaan penggal pertama persekolahan.
Maka, pada setiap kali sekolah dibuka penulis akan berjalan kaki dengan ‘berkaki ayam’ atau berkasut getah untuk ke sekolah.
Bagaimanapun, selepas pembinaan dan pembukaan Empangan Tasik Kenyir pada tahun 1986, maka ramai pula yang cuba mengaitkan kejadian banjir besar dengan empangan tersebut?
Malah, ada juga sesetengah pihak cuba mengaitkan kejadian banjir besar di Kelantan sebelum ini dengan limpahan air dari Empangan Kenyir?
Berdasarkan sejarah, kawasan tasik Kenyir dijadikan tasik jadian kerana fungsi dan potensinya dalam mengawal jumlah air di sungai Terengganu.
Empangan setinggi 150 meter ini mula dibina pada tahun 1978 dan siap tahun 1986.
Susulan dakwaan tidak berasas itu, pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) pernah beberapa kali menjelaskan bahawa limpahan air di Empangan Kenyir sentiasa terkawal.
Walaupun ada ketika terdapat limpahan, namun ia kembali normal setelah limpahan air empangan berkenaan secara automatik akan mengalir masuk ke Sungai Terengganu.
Penulis pernah dimaklumkan pihak TNB bahawa Empangan Kenyir tidak memiliki pintu sebaliknya air akan mengalir keluar selepas melebihi paras maksimum 145 meter.
Justeru, penulis berharap tiada lagi pihak yang cuba mengaitkan kejadian banjir besar dengan tindakan limpahan air di Empangan Kenyir.
Yang penting ialah semua penduduk yang tinggal di kawasan berisiko banjir sentiasa bersiap siaga selagi musim tengkujuh belum berakhir.
Penulis ingin mengingatkan agar kita semua sentiasa berwaspada dan terus mengikuti perkembangan cuaca semasa kerana hujan lebat secara berterusan ia boleh menyebabkan berlaku banjir pada bila bila masa.
Walaupun secara umumnya rakyat Terengganu masih terselamat daripada menjadi mangsa ancaman banjir gelombang pertama dan kedua yang melanda akhir tahun lepas, namun orang ramai perlu beringat bahawa tidak mustahil banjir gelombang ketiga atau keempat bakal berlaku.
Penulis percaya, pengalaman banjir besar yang melanda di negeri ini beberapa tahun lalu menyebabkan ribuan penduduk terpaksa berpindah masih menjadi ‘peringatan’ atau ‘amaran’ kepada kita semua.
Begitu juga dengan kejadian banjir di negeri-negeri utara, Lembah Klang dan Pahang pada akhir tahun lalu boleh dijadikan iktibar supaya kita tidak terus berada dalam kelalaian.
Leave a Reply