SEBANYAK 137 buah kampung di seluruh negara tersenarai dalam Program Desa Lestari di bawah inisiatif Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) yang mula diperkenalkan pada 2013.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata,  Program Desa Lestari diwujudkan bagi melonjakkan pengupayaan komuniti dalam merancang serta menjayakan pelaksanaan projek pembangunan di kampung.

“Desa Lestari adalah untuk memperkasa aktiviti ekonomi dan keusahawanan penduduk kampung melalui koperasi dengan membuka peluang pekerjaan baharu serta peluang  peningkatan pendapatan kepada penduduk.

Ia secara tidak langsung akan memajukan kampung yang menyertai program ini selain mengubah cara ke arah penggunaan teknologi digital dan kaedah yang lebih moden dan terkini dalam aktiviti ekonomi,’’ katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media sempena Majlis Penyerahan Jentera Tani Program Desa Lestari kepada Koperasi Desa Cemerlang Air Melintas Besar, Kepala Batas Berhad di Kepala Batas, hari ini.

Mahdzir memberitahu, kampung yang terpilih di bawah Program Desa Lestari akan menerima geran peruntukan bantuan pelaksanaan  projek-projek ekonomi komuniti yang disalur melalui platform koperasi komuniti.

‘’Geran bantuan projek meliputi enam sektor utama ekonomi iaitu pertanian, penternakan, pelancongan, perkhidmatan, pembuatan dan peruncitan,’’ katanya.

Beliau berkata, di Pulau Pinang misalnya, sebanyak 9 buah kampung telah menerima geran bantuan di  bawah program berkenaan dengan nilai setakat tahun 2020 adalah sebanyak RM7.03 juta.

‘’Kampung Air Melintas Besar di Kepala Batas ini pula telah dipilih sebagai salah sebuah kampung Desa Lestari bagi menjalankan Projek Pertanian dengan jumlah geran yang telah diperuntukkan sebanyak RM752,300.

‘’Saya berharap lebih banyak lagi kampung-kampung lain berusaha untuk menyertai program Desa Lestari ini dalam usaha membangunkan masyarakat di luar bandar seiring dengan perubahan zaman dan lanskap ekonomi dunia,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here