Pastikan 2.5 juta Bangsa Johor berpeluang mengundi…baru meriah!

SEMBOYAN Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor mula dibunyikan semalam apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon ialah pada 26 Februari manakala pengundian pada 12 Mac.

Persoalannya adakah dalam PRN yang akan menelan belanja sebanyak RM96 juta itu, senario pengundi seperti mana di PRN Melaka akan berulang? Di Melaka, ramai pengundi luar tidak balik dan ada pengundi tidak keluar mengundi.

Peratusan keluar mengundi yang rendah itu telah memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) kerana berdasarkan kepada keputusan PRN tersebut terbukti apabila peratusan mengundi melebihi 65 peratus, kemungkinan BN tidak boleh mencapai kemenangan besar.

Penulis memahami ketika itu wujudnya sentimen takut mengundi kerana penularan Covid-19 dan ramai pengundi membuat keputusan tidak pulang dengan beranggapan PRN itu tidak mempunyai signifikan apa-apa.

Situasi seumpama itu tidak harus dibiarkan berulang justeru langkah SPR untuk melaksanakan kempen ‘Jom Kita Undi’ melalui pelbagai saluran termasuk media sosial adalah sesuatu langkah yang bijak.

Untuk rekod, pengundi PRN Johor adalah seramai 2,597,742 orang yang terdiri daripada 2,574,835 pengundi biasa; 10,955 anggota tentera dan pasangan; 11,576 anggota polis dan pasangan termasuk Polis Pasukan Gerakan Am (PGA); dan 376 Pengundi Tidak Hadir (PTH) Luar Negara.

Dan lebih menarik perhatian seperti mana dinyatakan oleh #UndiJohor, kelmarin dalam satu kenyataan, dianggarkan terdapat 400,000 rakyat Malaysia yang bekerja dan menetap di Singapura. Daripada jumlah itu, 200,000 adalah pemilih yang layak mengundi dalam PRN Johor akan datang.

Oleh itu hak mereka untuk mengemudi tidak boleh diabaikan. Sama ada mereka hendak mengundi atau tidak, itu keputusan peribadi mereka, tetapi apa yang penting kerajaan melalui SPR perlu menyediakan kemudahan untuk mereka menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi berdaftar.

Justeru gesaan oleh #UndiJohor (terdiri daripada 43 NGO) wajar dipertimbangkan. Mereka mengemukakan empat gesaan iaitu;

1. Membenarkan pengundi pulang mengundi

Adakah kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan untuk memperluaskan inisiatif menerusi Lorong Perjalanan Vaksin (VTL) untuk pengundi pulang mengundi.

Waktu operasi di pusat mengundi perlu dilanjutkan untuk menampung urusan dan semakan syarat sewaktu aktiviti rentas sempadan.

2. Tubuhkan pusat mengundi di luar negara

Bagi mereka yang tidak dapat pulang ke tanah air, kedutaan dan Suruhanjaya Tinggi di negara masing-masing boleh menjadi pusat di mana pengundi menghantar undi pos mereka. Percaturan yang sama telah dilaksanakan pada Pilihan Raya Umum ke-13.

3. Pengundian awal bagi pelajar di kampus

Bagi pelajar yang kini berada di kampus dan sedang menjalani peperiksaan, kemudahan khusus perlu disediakan untuk memudahkan pengundian awal. Ini juga akan mengurangkan keperluan untuk mereka pulang ke kampung halaman untuk mengundi.

4. Membolehkan pengundian pos untuk pengundi Johor di Sabah dan Sarawak

SPR di negeri Sabah dan Sarawak hendaklah membantu mengutip undi dan menghantarnya ke Johor.

Apa yang digesa #UndiJohor harus dipertimbangkan. Tidak dapat dinafikan parti-parti politik pun sudah bersuara meminta supaya usaha dilakukan untuk memberi peluang kepada 2.5 juta Bangsa Johor mengundi pada 12 Mac ini.

Justeru penulis berharap Barisan Nasional (BN) yang diletakkan parti paling favourite untuk menang dengan jangkaan antara 32 hingga 36 kerusi dalam PRN Johor tidak keberatan untuk melaksanakan kempen secara agresif bagi menggagalkan Bangsa Johor balik atau keluar mengundi. Lagipun apa nak bimbang kerana bukankah semakin ramai keluar parti lain dan kembali kepada UMNO seperti mana digembar-gemburkan.

Bukan apa ‘tak seronok jugak’ bila dok dengar orang kata, BN menang disebabkan peratusan keluar mengundi rendah. Jadi BN kena bukti mereka parti yang benar-benar menjadi pilihan rakyat. Memang benar dalam pilihan raya menang satu undi pun dikira menang dan lebih satu kerusipun daripada parti lawan dah boleh tubuh kerajaan tetapi lebih bermakna kalau kemenangan dicapai  melalui peratusan keluar mengundi yang tinggi sekurang-kurangnya mencapai sasaran 70 peratus yang ditetapkan oleh SPR.

Tambahan pula PRN Johor akan menyaksikan lebih 700,000 pengundi baru dan pengundi muda Bangsa Johor akan mengundi buat kali pertama. Golongan ini perlu digalakkan menggunakan kuasa mereka untuk mengundi supaya memahami pelaksanaan proses demokrasi melalui pilihan raya.

Tiada gunanya mana-mana parti politik termasuk UMNO berdegar-degar bercakap soal membawa suara orang muda tetapi tiada usaha untuk menggalakkan mereka terlibat dalam proses menentukan parti mana yang layak memerintah.

Pada masa sama, golongan muda Bangsa Johor yang menjadi pengundi kali pertama perlu menggunakan peluang ini untuk membuktikan suara mereka adalah keramat dan mereka boleh menjadi pencetus kepada perubahan politik di negeri tersebut. Apa faedahnya dok ‘memekak’ dalam media-media sosial, kalau peluang untuk menentukan parti yang berwibawa dan berintegriti disia-siakan.

Kesimpulan, kempen ‘Jom Kita Undi’ oleh SPR atau apa-apa juga kempen menggalakkan pengundi Bangsa Johor mengundi harus diperhebatkan, kalau boleh biarlah Johor menjadi pencetus yang mengulangi keterujaan balik mengundi atau keluar mengundi seperti mana berlaku pada  PRU-14…barulah seronok kita melihat ‘pesta demokrasi’ sebenarnya..jadi kepada Bangsa Johor…’’Jom Luaskan Kuasamu’ melalui peti undi pada 12 Mac nanti.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *