Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

PARTI Keadilan Rakyat (PKR) menawarkan tiga kerusi kepada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, pihaknya masih menanti jawapan daripada pihak Muda selepas mengadakan beberapa siri rundingan.

“Berhubung isu agihan kerusi, PKR telah mengadakan tiga siri rundingan bersama dengan Muda selari menepati hasrat yang dinyatakan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) dan PH Johor.

“Dalam siri rundingan tersebut, masing-masing telah memberi pandangan secara jujur dan terbuka.

“Hasil rundingan ini, PKR telah menawarkan tiga kerusi kepada Muda dan sedang menunggu maklum balas berhubung tawaran tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, malam ini.

Hari ini, Muda memaklumkan akan bertanding enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam PRN tersebut hasil rundingam dengan Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP.

Terdahulu Surahanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam sidang akhbar di sini menetapkan 12 Mac depan sebagai tarikh pengundian bagi PRN Johor.

Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh dilaporkan berkata, hari penamaan calon pula jatuh pada 26 Februari dan tarikh untuk pengundi awal ditetapkan pada 8 Mac ini.

Sementara itu, Biro Politik Muda dalam satu kenyataan pada malam ini memberitahu, rundingan pembahagian kerusi antara Muda dan PKR untuk PRN Johor masih belum dimuktamadkan.

Pihaknya mencadangkan untuk bertanding di tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN tersebut.

“Ketiga-tiga kerusi ini bukan kerusi yang telah dimenangi atau ditandingi PKR pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lepas. Muda menghormati hak rakan-rakan PKR untuk mempertahankan kerusi sedia ada.

“Namun begitu, PKR belum lagi memberikan kata putus berkenaan tiga kerusi tersebut. Muda yakin dan percaya bahawa atas semangat kebersamaan dan demi rakyat Johor, satu rundingan yang telus dan jujur perlu dibuat.

“Muda juga mencadangkan agar setiap intipati rundingan diselesaikan bersama secara sulit sebelum diumumkan ke pihak media atas semangat ketelusan bersama,” menurut kenyataan tersebut.

Muda memaklumkan, pihaknya telah menjalani beberapa siri rundingan bersama-sama PKR, DAP dan Amanah berhubung pembahagian kerusi sebelum ini.

Rundingan pertama kata Muda, dibuat melibatkan wakil keempat-empat parti berkenaan dan telah dipersetujui Muda akan menjalankan rundingan bilateral bersama-sama setiap parti.

“Menerusi rundingan bilateral, Muda serta rakan-rakan daripada DAP dan Amanah telah mencapai persetujuan dan telah membuat pengumuman bersama-sama pada hari ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here