TIGA lagi individu selesai memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini, berhubung siasatan dakwaan salah laku dan integriti melibatkan beberapa pegawai kanan Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim berkata, seramai 10 lagi individu dikenal pasti, untuk dipanggil bagi memberi keterangan dalam siasatan kes itu.

“Siasatan dijangka mengambil masa dua minggu bermula minggu ini, dan kesemua individu yang dipanggil ini terdiri daripada ahli lembaga pengarah, dan pegawai-pegawai kanan Mara.

“Ini untuk kita tahu sama ada pemberian elaun seperti yang didakwa, mendapat kebenaran ahli lembaga pengarah atau tidak,” katanya kepada Bernama hari ini.

Hishamuddin berkata, pihaknya juga mendapat semua dokumen yang diperlukan semasa serbuan ke atas Ibu Pejabat Mara dan Mara Corporation, serta syarikat setiausaha korporat pada Isnin lepas.

Semalam, Bernama melaporka,n Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, seramai tujuh individu selesai memberi keterangan bagi siasatan kes itu.

Sabtu lepas, SPRM mengesahkan menerima satu laporan berhubung dakwaan isu integriti melibatkan beberapa pegawai kanan Mara, yang sedang disiasat secara dalaman oleh agensi itu. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here