lucah

Penyelia mengaku bersalah muat naik gambar, video lucah

SEORANG penyelia mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini kerana memuat naik kandungan gambar dan video lucah lima tahun lalu.

Tertuduh, Ahmad Tarmizi Mohd yang berdepan dengan dua pertuduhan membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di depan Hakim Nooriah Osman.

Sejurus pengakuan direkodkan, Nooriah menetapkan 28 Februari depan sebagai tarikh fakta kes dan hukuman serta membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin, lapor Sinar Harian.

Berdasarkan pertuduhan, pemuda berusia 28 tahun itu didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang lucah dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Kesalahan itu didakwa dilakukan menggunakan perkhidmatan aplikasi Google Drive dan dilihat pengadu pada pukul 12 malam, 11 Mei 2017 di sebuah rumah di Kampung Sena, Kuala Terengganu.

Bagi pertuduhan itu, Ahmad Tarmizi didakwa di bawah Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia, Nazrul Nizan Mohd Zameri, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *