Tidak perlu pertikai kesetiaan Pas, istiqamah dengan PN-Muhyiddin

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

PAS sudah menyatakan persetujuan untuk bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) sekali gus menafikan parti itu akan bersama-sama UMNO atau Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, persetujuan itu sudah dicapai dan pembahagian kerusi juga sudah dilakukan untuk PRN tersebut melibatkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan).

Presiden Bersatu itu memberitahu, pembahagian kerusi melibatkan tiga parti komponen itu akan diselesaikan hujung minggu ini.

“Mungkin dengan pembahagian itu bukan sahaja untuk PRN tapi juga ke hadapan dalam pilihan raya umum dan sebagainya kita akan selesaikan.

“Masing-masing akan tahu di mana mereka berada dan akan mengambil beberapa langkah untuk perkukuh parti masing-masing atas nama PN yang tumpuannya untuk membantu rakyat,” katanya.

Ahli Parlimen Pagoh berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Pelancaran Jualan Prihatin Rakyat di Dataran Pagoh Jaya, Muar, hari ini.

Muhyiddin beramah mesra dengan peniaga sebelum Pelancaran Jualan Prihatin Rakyat di Dataran Pagoh Jaya, Muar, hari ini

Pas menerusi Muzakarah Pas Bersatu di Shah Alam pada 29 Januari lalu mengumumkan akan bekerjasama dengan UMNO dan Gerakan dalam PRN Johor.

Muzakarah Bersatu dan Pas mencapai kata putus untuk terus memperkukuh hubungan mereka dan mendukung ‘prinsip bersama’ serta menolak budaya politik ekstrim.

Lima resolusi dicapai pula dengan kesepakatan mendukung nilai integriti, kejujuran, kestabilan dan perpaduan yang inklusif serta menawarkan penyelesaian bagi memulihkan negara.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berharap, kesetiaan Pas dalam PN tidak dipertikaikan lagi tambahan pula parti berkenaan antara yang mengasaskan gabungan itu bersama-sama Bersatu.

Selain itu katanya, muzakarah antara Bersatu dan Pas yang dimuktamadkan baru-baru ini juga sudah cukup untuk menunjukkan komitmen parti itu dalam PN.

“Pas juga adalah pengasas bila saya tubuhkan PN, Gerakan sertai kemudian jadi sebab itu sampai hari ini (Pas) masih kekal bersama dalam PN.

“Jangan dipertikai, jangan dipersoalkan tentang soal kesetiaan dan sikap istiqomah Pas bersama dan kita baru selesaikan muzakarah, bentang resolusi yang menunjukkan komitmen yang total parti-parti dalam PN,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *