Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak wajar membangkitkan isu Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang sudah pun selesai.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin hairan dengan sikap Najib itu sedangkan kerajaan Sabah telah berjalan dan berfungsi dengan cukup baik ketika ini melalui persefahaman yang terjalin.

Justeru, beliau mempersoalkan tindakan Najib yang membangkitkan perkara yang berlaku semasa PRN Sabah melibatkan gabungan itu, Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

Beliau berkata, apa yang dilakukan Najib tidak akan membantu ke arah kestabilan kepada negeri itu dan negara.

“Saya tidak tahu apa agenda Najib berbuat demikian melainkan dengan niat tertentu yang tidak baik.

“Saya tak tahu dia nak korek apa cerita, saya tak tahu apa muslihat dan matlamat dia (melainkan) kalau tidak ada niat yang jahat.

“Menimbulkan perbalahan ketidakstabilan ini tak membantu negara. Sepatutnya dalam situasi ini dia membantu untuk mewujudkan kestabilan bukan mempersoal perkara yang sudah sah dari segi Perlembagaan negeri dari sudut apa sekali pun.

“Sebab itu di Sabah luar biasa, UMNO ada di sana bersama-sama kita di bawah Gagasan Rakyat Sabah (GRS) jadi saya tak faham dan saya dah jelaskan pendirian dan pandangan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Pelancaran Jualan Prihatin Rakyat di Dataran Pagoh Jaya, Muar, hari ini.

Muhyiddin beramah mesra dengan peniaga dan orang ramai pada Pelancaran Jualan Prihatin Rakyat di Dataran Pagoh Jaya, Muar, hari ini

Turut hadir Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai dan Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad.

Muhyiddin dalam satu hantaran Facebook malam tadi, membidas kenyataan Najib yang mendakwa pengkhianatan Bersatu dalam PRN Sabah menjadi punca Muafakat Nasional (MN) gagal.

Tegas Muhyiddin, dakwaan Najib yang menuduh Bersatu meletakkan calon melawan UMNO dalam PRN Sabah yang kononnya perbuatan khianat kepada UMNO adalah tidak benar sama sekali.

Katanya, perincian pembahagian kerusi dibincangkan di peringkat jawatankuasa itu dan antara yang terlibat mewakili PN dan BN ialah Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Tan Sri Annuar Musa, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin dan Datuk Seri Hajiji Noor.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here