Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
SEORANG lelaki warga emas dijatuhkan hukuman penjara satu hari dan denda RM10,000 di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini kerana memberi rasuah RM600 kepada seorang kakitangan kerajaan dalam satu kejadian pada 15 Julai 2021.
Tertuduh, Tan Yen Keek, 65, dijatuhkan hukuman itu selepas mengaku salah atas pertuduhan itu di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh yang juga merupakan seorang pemilik kedai gas cuba merasuah seorang anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu sebagai dorongan agar anggota berkenaan tidak membuat pemeriksaan lanjut terhadap premis miliknya yang menjalankan aktiviti perniagaan pemborong dan pengedar gas memasak (LPG).
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di premis miliknya di Kawasan Perusahaan Ringan Pulai, Johor Bahru pada pukul 11.30 pagi, 15 Julai tahun lalu.
Terdahulu, peguam tertuduh, A. K. Bharathi meminta mahkamah memberikan hukuman minuman terhadap tertuduh kerana itu merupakan kesalahan pertama tertuduh.
“Selain itu, tertuduh turut menanggung seorang isteri dan seorang anak lelaki berusia 25 tahun yang mempunyai masalah kesihatan mental dan penyakit jantung berlubang.
“Tertuduh turut menanggung sewa kedai berjumlah RM2,200 sebulan selain turut perlu membayar gaji kepada dua orang pekerjanya,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suhaili Sapun bagaimanapun meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran terhadap tertuduh dan juga masyarakat awam.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara satu hari dan denda RM10,000 terhadap tertuduh, sekiranga gagal membayar akan dikenakan tiga bulan penjara.
Peguam tertuduh bagaimanapun memaklumkan anak guamnya akan membuat pembayaran denda berkenaan.
Leave a Reply