Penulis wanita Terengganu ‘timbul tenggelam’ – Mahanie Sulong

Nama Mahanie Sulong, 62, sememangnya tidak asing lagi dalam kalangan khalayak sastera di negara ini khususnya di Terengganu.

Ini kerana kegigihan anak kelahiran Ladang Sekolah, Kuala Terengganu ini dalam berkarya berjaya menempatkan dirinya sebagai seorang penulis dan penyair wanita prolifik Terengganu.

Walaupun ada ketika beliau mendakwa pernah ‘timbul tenggelam’ dalam berkarya, namun tanpa disedari penglibatannya dalam bidang penulisan dan kesusasteraan telah menjangkau melebihi 40 tahun.

Minat yang dipupuk sejak dibangku sekolah menengah akhirnya menjadi realiti sebaik beliau dilantik menjadi Setiausaha Kerja Persatuan Sasterawan Terengganu (PELITA) sekitar tahun 1980.

Pada awalnya, beliau menulis hanya ingin mencuba sesuatu yang baharu, tetapi akhirnya telah mencambahkan minat mendalam untuk terus berkarya. Berkat usaha tersebut, maka terhasillah beberapa buah novel awal antaranya ‘Di Bawah Mentari’, ‘Percikan Badai’ dan ‘Izat’.

Selain novel, beliau turut menghasilkan karya dalam pelbagai genre lain seperti puisi, skrip drama radio, cerpen dan rencana.

Ikutilah Wawancara 5 Soalan Wartawan WartaRakyat MOHD LAZIM ENDUT bersama Penyair wanita prolifik Terengganu, MAHANIE SULONG, yang juga Bendahari PELITA mengenai bidang penulisan dan kesusasteraaan yang diceburi.

Sudah berapa lama melibatkan diri dalam bidang penulisan dan kesusasteraan, boleh ceritakan bagaimana mula ‘terheret’ di bidang ini?

MAHANIE : Boleh dikatakan agak lama juga iaitu bermula pada akhir 1980an. Ketika itu, saya belum bekerja dan masih lagi menganggur,  jadi masa terluang banyak diisi dengan mendengar radio terutama melibatkan slot siaran rancangan drama tempatan.

Lama kelamaan hati saya mula tertarik untuk turut menulis skrip drama radio, kemudian tercetus pula minat untuk menulis cerpen, novel dan terakhir puisi.

Apakah antara nama-nama karya terawal dan terkini pernah dihasilkan?

MAHANIE: Sebaik dilantik menjadi Setiausaha Kerja PELITA pada akhir tahun 1980, saya terus mengaplikasikan minat yang ada dengan menghasilkan karya dalam pelbagai genre termasuk novel, cerpen, puisi dan rencana.

Antara novel terawal saya ialah “Di Bawah Mentari”, ‘Percikan Badai” dan “Izat”.

Manakala lain-karya saya pernah dihasilkan termasuk antologi bersama antaranya ialah “Tarbiyah” (1984: TETAMU), “Warna Kemesraan” (1986: PELITA), “Sekayu” (1989: PELITA), “Guru Oh Guru” (DBP), “Mutiara Timur” (DBP), “Wilayah Permata” (1991: PELITA), “Kisaran Angin” (1997: PELITA), “Gema Membelah Gema” (GAPENA), “Teng Ye Nung” (PELITA) “Bah Kuning” (2015: DBPWT) dan “Dermaga Hayat” (2017: PELITA).

Bagaimana perkembangan bidang penulisan dan Kesusasteraan di Terengganu ketika ini?

MAHANIE: Kalau diperhatikan memang terdapat percambahan di mana semakin ramai lahirnya penulis muda berbakat besar di negeri ini, namun ketrampilan dan kerancakkan dalam berkarya di bidang ini masih kelihatan agak lesu.

Hal ini disebabkan kebanyakan penulis hari ini khususnya di Terengganu mempunyai kerjaya tetap yang lain dan mereka menulis hanya kerana minat, tetapi terpaksa berhadapan dengan kekangan masa yang agak terhad dan terbatas. Justeru seseorang penulis perlulah bijak dalam menguruskan masa.

Bagaimana pula dengan penulis wanita, difahamkan ia masih lagi kurang dan apakah cara untuk menarik lebih ramai golongan tersebut menyertai bidang ini?

MAHANIE: Di Terengganu memang ada  ‘terlahir’ ramai penulis wanita sejak dahulu lagi, tetapi kemunculan penulis muda wanita kebelakangan ini tidak begitu konsisten dalam berkarya dan tidak ramai pula yang betul-betul aktif.

Sebenarnya saya sendiri pun masih lagi ‘tenggelam timbul’ dalam bidang ini, saya tiada pilihan atau cara bagaimana mahu menarik minat penulis wanita supaya mereka mendekati dan menyertai bidang penulisan dan kesusasteraan.

Namun, pada saya usaha persatuan berkaitan seperti PELITA yang secara berterusan mengadakan pelbagai aktiviti seperti bengkel dan latihan penulisan bermula diperingkat sekolah menengah boleh membantu ke arah itu.

Sepanjang terlibat dalam bidang ini, adakah pernah memenangi anugerah atau hadiah?

MAHANIE: Antara hadiah yang pernah saya menangi ialah Hadiah Saguhati Puisi Utusan-Public Bank (1990), Hadiah Penulis Produktif PELITA genre skrip drama radio (1990) dan Hadiah Utama Puisi Utusan-Public Bank (1993).


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *