Oleh RIZQI ZABIDI
SEORANG anggota polis mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2,500 yang didakwa dilakukan tiga tahun lalu.
Anggota polis tersebut, Sarjan Mohd. Nazuli Mohd. Nazari membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa di depan Hakim, Harmi Thamri Mohamad di Mahkamah Sesyen 2, Alor Setar, Kedah hari ini.
Bersandarkan kertas pertuduhan, tertuduh yang bertugas di Bahagian Detektif, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling didakwa menerima wang suapan bernilai RM2,500 daripada seorang individu berusia 34 tahun.
Rasuah tersebut didakwa diterimanya kira-kira pukul 4.27 petang, 3 Disember 2019 dalam sebuah kenderaan jenis Perodua Axia di tempat letak kereta, Unit Inspektorat Pejabat Kesihatan Daerah Baling.
Wang suapan itu didakwa sebagai dorongan kepada anggota polis tersebut untuk tidak mengambil tindakan terhadap individu berkenaan yang didakwa mencuri dua telefon bimbit dari sebuah kedai di pekan Baling.
Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sew Ping mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 manakala tertuduh diwakili peguam, Alif Zulkefli.
Sekiranya disabitkan dengan kesalahan, tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) Akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.
Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dengan tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 7 Mac depan.
Leave a Reply