pelajar Politeknik Merlimau meninggal maut Op Selamat bayi kancil maut tercampak sindiket ceramah politik EAIC terjatuh lelaki bayi ditikam polis kereta kondominium himpunan samun parang orang asli wanita ADUN kepala hakim wanita laporan hutang monorel banjir mayat wanita mangsa

Himpunan haram: Adam Adli, 7 individu lain dipanggil

SERAMAI lapan individu hari ini dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, di sini bagi memberi keterangan berhubung penglibatan ceramah berkait himpunan #TangkapAzamBaki, pada Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Amihizam Abdul Shukor berkata, kesemua mereka antara dipanggil bagi membantu siasatan susulan program ceramah yang diadakan sehari sebelum himpunan terbabit dianjurkan pada Sabtu.

“Polis menjalankan siasatan kes di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan peraturan-peraturan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” katanya ketika dihubungi.

Amihizam berkata, sehubungan itu akan ada beberapa lagi individu lain dipanggil selepas ini untuk membantu siasatan.

Antara yang hadir pada petang ini termasuk aktivis Adam Adli Abdul Halim; Ketua Pemuda DAP Howard Lee dan Naib Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Dr Thanussha Francis Xavier.

Selain itu, turut hadir Setiausaha Agung Muda, Amira Aisya Abd Aziz; Ketua Pejuang Muda, Dr Abu Hafiz Salleh Huddin; Naib Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah), Zubair Rahim dan Pengarah Strategik Pemuda Amanah, Asmaalif Abdul Adam.

Terdahulu, kesemua yang hadir memberi keterangan pada 2.10 petang dengan diwakili peguam masing-masing serta dilihat meninggalkan IPD berkenaan pada 4.15 petang.

Sabtu lalu, media melaporkan polis memeriksa butiran diri kira-kira 40 individu termasuk 12 aktivis yang hadir pada perhimpunan program Pentas Anak Muda #TangkapAzamBaki anjuran Pemuda Amanah Nasional di Dewan Restoran Amjal, Jalan Pantai Baharu, di sini.

Hasil siasatan awal polis mendapati kesemua individu terbabit diipercayai berhimpun kira-kira 9 malam pada Jumaat bagi mengajak orang ramai untuk turut hadir pada perhimpunan berkenaan yang dijadualkan diadakan berhampiran Transit Aliran Ringan (LRT) Bangsar. – BERNAMA


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *