Tragedi bot karam:Enam mayat ditemui, seorang selamat

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

SERAEMAI enam pendatang asing tanpa izin (PATI) ditemukan mayatnya dipercayai penumpang bot yang terbalik dan karam dipukul ombak besar di perairan Pulau Pisang, Pontian, hari ini.

Enam mayat PATI tersebut ditemui dan dibawa ke Jeti Nelayan Pontian Besar.

Mayat pertama dan kedua dinaikkan di jeti berkenaan pukul 2.35 petang manakala baki empat mayat terakhir pula dibawa naik pukul 3.04 petang.

Sementara itu, seorang wanita yang sebelum ini dilaporkan merupakan antara tujuh PATI yang dikhuatiri lemas, ditemui selamat oleh pasukan mencari dan menyelamat.

Wanita yang dipercayai selamat dalam tragedi bot karam di perairan Pulau Pisang, Pontian, hari ini.

Wanita berkenaan tiba di jeti itu pukul 2.30 petang menaiki bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Wanita itu dilihat menangis setibanya di jeti berkenaan sebelum dibawa ke ambulans yang menanti di jeti untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Dalam kejadian itu, tujuh PATI dikhuatiri lemas, manakala enam lagi ditemui selamat nelayan tempatan selepas bot fiber yang dinaiki mereka terbalik dan karam di perairan Pulau Pisang pukul 10 pagi tadi.

Seorang daripada enam PATI yang diselamatkan nelayan tempatan itu berada dalam keadaan kritikal dan kini menerima rawatan di Hospital Pontian.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *