Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

MENTERI Besar Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad harus menamatkan spekulasi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sekiranya masih berdolak dalih dan tidak berani memberitahu tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dan seterusnya PRN.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Che Zakaria Mohd. Salleh berkata, spekulasi dan polimik itu perlu ditamatkan kerana perkara yang perlu dilakukan adalah membantu rakyat terutama Johor masih dalam pandemik Covid-19 dan pasca banjir.

Beliau menegaskan, rakyat Johor tidak seharusnya diperjudi dan dijadikan bahan eksperimen politik dengan mengadakan PRN Johor untuk menguji pengaruh atau kekuatan mana-mana parti.

“Keadaan politik di negeri ini ketika ini tenang walaupun kerajaan negeri yang memerintah hanya memiliki kelebihan satu kerusi Dewan Undangan Negeri (ADUN).

“Kita tidak mahu situasi politik di negeri ini bergolak. Jangan burukan keadaan di negeri ini yang baru bangkit daripada Covid-19 dan jangan cipta masalah yang sebelum ini takde masalah pun. Isu PRN ini menakut-nakutkan rakyat Johor dan perlu diberikan noktah.

“Sepatutnya semua ADUN menghormati dan tidak derhaka pesanan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar semasa bertitah dalam pembukaan sidang DUN baru-baru ini supaya mengekalkan kestabilan politik di Johor.

“Jika ada pihak yang terdesak untuk mengadakan PRN, mereka perlu menunggu sehingga Pilihan Raya Umum ke15 (PRU15), buat serentak di seluruh negara. Kos untuk PRN Johor lebih RM40 juta, ini membazir duit rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri upacara pengebumian dua mangsa lemas di Tanah Perkuburan Islam Mutmainnah Pasir Gudang, Kampung Cahaya Baru, Pasir Gudang, hari ini.

Che Zakaria (kiri), Sabri (tengah) dan ahli keluarga serta rakan arwah hadir pada pengebumian dua mangsa lemas di Tanah Perkuburan Islam Mutmainnah Pasir Gudang, Kampung Cahaya Baru, Padir Gudang, hari ini.

Semalam, Hasni terus berteka-teki dan ketawa apabila ditanya bila tarikh sebenar PRN Johor akan diadakan selepas Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Jimmy Puah Wee Tse, kelmarin, mendesaknya agar memberitahu tarikh PRN.

Baru-baru ini, khabar angin bahawa Johor bakal menyaksikan PRN diadakan semakin kedengaran khususnya selepas ADUN Kempas, Datuk Osman Sapian yang juga bekas Menteri Besar Johor meninggal dunia pada 21 Disember lalu.

Perkembangan itu menyebabkan kedudukan kerajaan negeri Johor dilihat tidak kukuh kerana hanya mempunyai majoriti satu kerusi iaitu 28 kerusi berbanding 27 kerusi pembangkang di DUN.

Mengulas lanjut, Che Zakaria berkata, semua ADUN termasuk pembangkang menyokong kepimpinan Menteri Besar serta tidak ada sebab untuk membubarkan DUN dan Hasni tidak seharusnya mendengar desakan beberapa individu dalam partinya untuk PRN.

Beliau mendakwa, desakan tersebut datang daripada kem berbeza dengan Perdana Menteri dan mempunyai agenda serta kepentingan diri terutama mereka yang masih mempunyai kes-kes rasuah di mahkamah.

“Johor tidak boleh dijadikan seperti Melaka dengan mengadakan PRN, ini situasi yang berbeza. Johor mempunyai sultan dan Undang-Undang Tubuh Negeri yang patut dipatuhi, bukan boleh dilanggar sesuka hati dengan buat PRN,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here