SEMUA masjid dan surau di Selangor yang mendapat kebenaran solat fardu Jumaat dibenarkan untuk menggunakan ruang solat utama dan ruang limpah secara sepenuhnya bagi menunaikan solat tersebut bermula Jumaat ini.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, kebenaran tersebut mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang turut berkenan jarak antara satu jemaah dengan jemaah lain ditetapkan sebanyak semeter.

Mohd. Shahzihan berkata, surat ketetapan mengenainya akan dikeluarkan dan diedarkan oleh pihaknya kepada 427 buah masjid dan 316 buah surau terlibat dalam tempoh terdekat.

“Ketetapan ini akan memberi kesan peningkatan kapasiti bilangan jemaah solat Jumaat di seluruh Selangor sehingga 35 peratus tertakluk kepada keluasan fizikal masjid dan surau, berbanding jumlah jemaah dibenarkan melalui ketetapan terakhir JAIS pada November lalu.

“Ketetapan baharu ini masih menetapkan bagi pihak pentadbir masjid dan surau untuk menguatkuasakan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kepada para jemaah,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Mohd. Shahzihan turut memaklumkan ketetapan tersebut menyentuh beberapa perkara berbangkit berhubung dengan hal ehwal aktiviti pengimarahan, pengurusan solat dan jemaah.

Ujarnya, ia turut menyentuh isu pengurusan jenazah dan peranan pentadbir untuk mengambil pendekatan keseimbangan dalam mengurus pertembungan sikap individu serta jemaah atau masyarakat dalam beberapa perkara berhubung penguatkuasaan SOP yang ditetapkan.

“JAIS berharap agar ketetapan baharu ini akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh umat Islam khususnya golongan muda untuk berusaha mendapat tempat bagi menunaikan kefarduan solat Jumaat.

“Sayugia diingatkan bahawa hanya individu yang berusaha mendapatkan tempat bagi mendirikan Solat Fardu Jumaat, lalu tidak berjaya, akan diangkat kefarduan jumaatnya.

“Perkara tersebut selaras dengan pandangan Jabatan Mufti Selangor mengenainya bertarikh 13 Jun 2020 dan 22 Julai 2020 yang masih dikekalkan sehingga kini,” katanya. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here